PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan petang semalam selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan semasa melalui pemeriksaan imigresen di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan siasatan awal mendapati lelaki itu memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari negara ini melalui KLIA pada 13 Ogos tahun sama.
“Namun begitu, terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama subjek (lelaki Indonesia) bermula 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan,” menurut AKPS dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk lelaki itu sepanjang tempoh terbabit.
“Hasil keterangannya kepada pegawai penyiasat, lelaki itu mengaku tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak 2022, sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan kesahihan cap-cap keselamatan yang terdapat pada pasport miliknya,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan sebanyak RM4,000 dipercayai dibelanja lelaki terbabit sebagai bayaran untuk mendapatkan cap terbabit.
— BERNAMA