KAMPAR – Walaupun polis melepaskan satu das tembakan namun seorang lelaki nekad bagi terus memandu treler muatan simen yang ennggan berhenti untuk pemeriksaan di sini sebelum akhirnya berjaya ditahan di Seri Iskandar, pada Sabtu.
Suspek berusia 52 tahun yang beralamat di Batu Kurau itu ditahan di kawasan semak berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) selepas aksi kejar-mengejar pihak polis sejauh lebih 30 kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, treler yang dipandu dari Kerling, Hulu Selangor itu telah dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) Kampar selepas enggan berhenti daripada diperiksa polis.
Katanya, pemandu treler memecut kenderaanya ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara sebelum pasukan polis menutup laluan keluar Tol Gopeng menggunakan penghadang air.
Beliau berkata, walau bagaimanapun kenderaan muatan simen itu masih enggan berhenti sebaliknya melanggar palang tol dan terus memandu menghala ke Kampar.
“Treler itu kemudian cuba dipintas oleh beberapa pasukan MPV dari Kampar dan Tapah di sekitar Jalan Gopeng – Kota hingga ke persimpangan Malim Nawar dan Bandar Baru Kampar, namun pemandu masih enggan berhenti.
“Ketika melalui kawasan Bandar Baru Kampar, lori terbabit dipandu secara melawan arus dan beberapa kali telah menghimpit kenderaan polis.
“Arahan untuk berhenti juga telah diberikan beberapa kali, namun pemandu masih enggan memberhentikan treler, sebaliknya kemudian terus memandu menghala ke Gopeng,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mohamad Nazri berkata, berdasarkan kepada situasi dan mahu bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam serta anggota polis, satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar hadapan lori ketika berada di Jalan Ipoh – Kampar.
“Walaupun tayar hadapan pecah, lori itu masih dipandu secara agresif melalui Jalan Malim Nawar ke Tanjung Tualang, seterusnya menghala ke Seri Iskandar dengan melalui Jalan Kampung Bali.
“Di sepanjang laluan, pemandu treler masih masih bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan pasukan polis yang cuba memintas,” katanya lagi
Menurut beliau, treler terbabit kemudian memandu ke arah Seri Iskandar sebelum membuat pusingan U di hadapan UTP sebelum pemandu berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran dengan universiti terbabit.
Kata beliau, hasil semakan lanjut mendapati suspek memiliki 13 rekod lampau membabitkan dua kes jenayah dan 11 kes narkotik sementara hasil ujian saringan awal air kencing turut menunjukkan suspek positif dadah jenis Morphine.
“Polis turut merampas sebuah treler simen berwarna putih dan satu kunci kenderaan terbabit. Kes siasatan lanjut kes ini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: