IPOH – Hasrat dua lelaki masing-masing pemandu lori tangki dan van memindahkan minyak sawit secara haram tidak kesampaian selepas diserbu Pasukan Polis Marin Wilayah Satu dalam Op Taring Landai di Ulu Kayan, Sitiawan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu dalam kenyataan berkata, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 35 tahun itu ditahan ketika serbuan pada Selasa kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata, pasukan serbuan telah mengesan sebuah kenderaan lori tangki dan van pelbagai guna dalam keadaan mencurigakan berada di dalam kebun kelapa sawit di sekitar Ulu Kayan, Sitiawan.
“Hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan mendapati terdapat dua lelaki tempatan sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak sawit secara tidak sah dari lori tangki ke tong minyak yang berada dalam muatan van menggunakan hos dan pam.
“Seterusnya, pasukan polis marin dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah merampas sebuah tong ibc, empat tong drum berisi minyak disyaki minyak sawit yang berada dalam muatan van, sebuah pam minyak beserta hos dan sebuah van,” katanya.

Tambah beliau, pasukan operasi turut merampas sebuah lori tangki yang membawa muatan anggaran 33 tan minyak sawit disyaki jenis crude palm kernel oil (CPKO).
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM568,081.77 termasuk nilai rampasan kenderaan dan keseluruhan minyak sawit,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua lelaki berkenaan bersama barang rampasan telah dibawa dan diserahkan kepada pihak MPOB Bagan Datuk bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
“Pasukan Polis Marin akan terus bekerjasama dengan pihak mpob dalam membanteras sebarang aktiviti penyelewengan minyak sawit di masa-masa akan datang,” katanya.
Op Taring Landai dijalankan dengan kerjasama Pasukan Risik/Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Kampung Acheh bersama Bahagian Penguatkuasa MPOB Cawangan Bagan Datuk. -MG Perak


