KUANTAN – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang cuba melarikan diri selepas terlibat kemalangan di Jalan Dato’ Wong Ah Jang di sini, semalam dengan kejadian itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kejadian pada 3.15 petang bermula selepas pihaknya mengesan kereta dipandu suspek berusia 27 tahun dalam keadaan mencurigakan dari Jalan Gambut menghala ke bandar.
“Semasa usaha menahan lelaki itu dijalankan, kereta tersebut terbabit kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan awam di Jalan Dato’ Wong Ah Jang dan suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta di tengah jalan.
“Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan dadah disyaki pil yaba dan syabu bernilai kira-kira RM2,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata suspek yang didapati positif dadah juga mempunyai rekod lampau kesalahan sama.
Beliau berkata semua pemandu kenderaan terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial memaparkan suspek melarikan diri di Jalan Dato’ Wong Ah Jang sebelum ditahan polis.
— BERNAMA


