KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan mengambil jururawat dari Indonesia bagi berkhidmat di hospital-hospital dalam negara.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan memandangkan masih ramai graduan jururawat yang masih menunggu untuk mendapatkan tawaran perjawatan.
“Terdapat ramai graduan jururawat yang telah tamat pengajian tetapi masih menunggu pelantikan ke jawatan jururawat. Malah ada yang telah menunggu sehingga lapan bulan tanpa sebarang tawaran lantikan tetap atau kontrak,” katanya menerusi kenyataan.
Tegasnya, sepatutnya keutamaan diberikan kepada jururawat tempatan yang berkelulusan Peningkatan Secara Lantikan (PSL).
“Golongan ini seharusnya diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan di hospital-hospital kerajaan. Peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam wajar diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pengambilan pekerja asing, selaras dengan dasar mengutamakan kepentingan warganegara,” tambahnya.
Selain itu, beliau berpendirian, kualiti dan piawaian latihan jururawat tempatan lebih tinggi berbanding tinggi kerana telah melalui latihan yang ketat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mengambil jururawat luar negara yang mungkin tidak mencapai standard yang sama berisiko menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Adnan memberi tumpuan kepada mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan bagi mengisi kekosongan sedia ada.
“Penyelesaian jangka panjang seperti menambah bilangan pengambilan pelatih jururawat di institusi latihan KKM, memperluas peluang PSL serta meningkatkan insentif dan kemudahan untuk jururawat tempatan adalah lebih tepat dan mampan berbanding mengambil jururawat dari luar negara.
“CUEPACS sedia berbincang dengan pihak KKM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kekurangan jururawat tanpa menjejaskan peluang pekerjaan dan kebajikan jururawat tempatan,” ujarnya.
Terdahulu cadangan berkenaan disuarakan oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mencadangkan supaya satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini.
Katanya, ia sekaligus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto berkata, langkah itu merupakan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.-MalaysiaGazette