CUEPACS minta kadar KGT pembantu tadbir dinilai semula

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan agar menilai semula kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi skim Pembantu Tadbir di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan kerana kumpulan penjawat awam itu kini menjalankan tugas jauh melebihi skop fungsi asal.

Malah katanya, kebanyakkan anggota pembantu tadbir di pelbagai jabatan serta agensi kerajaan mahupun badan berkanun telah memiliki kelayakan akademik lebih tinggi daripada syarat minimum kemasukan ke jawatan terbabit.

CUEPACS minta semak kadar KGT pembantu tadbir CUEPACS, kenaikan gaji tahunan penjawat awam, pembantu tadbir, skim perkhidmatan awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Datuk Dr Adnan Mat, kerajaan Malaysia, isu penjawat awam, semakan gaji sektor awam
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat pada sidang media Program Fun Run AUEGCAS Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OKTOBER 2025.

“Pada hari ini ramai dalam kalangan pembantu tadbir telah mempunyai kelayakan akademik yang tinggi sama ada sarjana mahupun doktor falsafah (PhD), walaupun kerajaan menetapkan had kelayakan adalah pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini bermakna kita telah menggunakan tenaga mereka yang berkelayakan lebih tinggi ini dengan kadar upah SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Run Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, dekat sini, pada Sabtu.

Program dirasmikan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.

Hadir sama Presiden AUEGCAS, Hazani Hamzah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Perak, T Joanna Inbarani.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan menyantuni kanak-kanak ketika hadir pada Program Fun Run AUEGCAS Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OKTOBER 2025.

Menurut Adnan, skim Pembantu Tadbir merupakan antara skim perkhidmatan paling lama dalam struktur perkhidmatan awam, meskipun pelbagai skim lain telah mengalami transformasi di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan kini Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata, hasil mesyuarat Jawatankuasa Kualiti Gaji CUEPACS pada minggu lalu, pihaknya menggariskan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan termasuk langkah penjumudan skim perkhidmatan.

Tambah Adnan, permohonan untuk menyemak semula skim Pembantu Tadbir bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperjuangkan sejak sekian lama, namun masih belum diberi pertimbangan sewajarnya sehingga kini.

Justeru kata beliau, cadangan untuk melihat semua KGT kesemua 320,000 pembantu tadbir di seluruh negara juga tidak memberikan implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

“Perkara yang kita utarakan ini tidak akan memberi kesan besar kepada kewangan kerajaan kerana gaji pokok mereka adalah setara.

“Cuma hanya pada kadar KGT, misalnya daripada kira-kira RM100 kepada RM145 sahaja yang mana perbezaan sekitar RM45 bagi setiap pembantu tadbir.

“Mereka ini adalah tunjang kepada sistem penyampaian kerajaan, daripada kementerian hingga ke pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penjawat awam perlu beramanah, tingkat pelbagai kemahiran

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI