KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini, menetapkan Khamis ini bagi keputusan representasi pelakon dan pelawak Along Cham terhadap tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya.
Pada prosiding 21 Ogos lalu, selain status representasi, Majistret Khairatul Animah Jelani turut menetapkan hari yang sama (25 September) untuk sebutan kes.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya, di sini, pada pukul 3.10 petang 14 Disember 2024 dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia juga didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.
Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah, Mahkamah Kanak-Kanak menetapkan hari yang sama bagi sebutan kes lima remaja perempuan yang dituduh menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir, dua bulan lalu.
Pada 20 Ogos lalu, mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan pada 16 Oktober ini manakala perbicaraan dijadual didengar bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok asrama sebuah sekolah di Papar antara pukul 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette