Daftar dan carum pekerja sebelum 31 Mei atau berdepan pendakwaan – Perkeso

KUALA LUMPUR – Majikan diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum bermulanya Ops Kesan 2024 pada bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, para majikan yang mendaftar dikecualikan daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

Tawaran itu sempena Bulan Pemutihan Kali Ke-15.

“Keselamatan sosial merupakan kebajikan yang paling penting untuk pekerja pada hari ini. Sebulan ini Perkeso tidak akan mengenakan kompaun, tindakan pendakwaan dan undang-undang.

“Kita harap mereka ini tidak perlu tunggu sampai kita ketuk pintu mereka sampai kita keluarkan kompaun,” katanya ketika sidang media.

Jelas beliau, majikan perlu mendaftarkan pekerja tempatan dan juga asing di bawah pertubuhan tersebut tanpa mengira gaji demi menjaga kebajikan mereka.

Menurut Mohammed Azman, majikan yang gagal memanfaatkan bulan ini bakal berhadapan kompaun atau tindakan mahkamah sekiranya tetap ingkar.

“Tetapi jika mereka gagal, selepas hujung Mei ini bila kita keluar dengan lebih kurang 500 anggota Perkeso yang akan melaksanakan aktiviti Ops Kesan.

“Kita bukan ingin menyusahkan majikan tetapi seperti arahan menteri, kita kena jaga kebajikan pekerja. Itulah matlamat kita melaksanakan Ops Kesan ini untuk memastikan pekerja didaftarkan, dicarum supaya kebajikan mereka terjamin,” jelasnya.

Terdahulu katanya, Ops Kesan Ke-15 dijalankan untuk memastikan semua majikan yang menggajikan pekerja tanpa mengira jumlah gaji mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka seperti yang peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan.

Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso

“Majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000.00 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua- duanya sekali,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI