KEPUTUSAN Nor Shairah Aina Mohamad Saed untuk berhenti kerja sebagai jurutera akibat masalah kesihatan sewaktu mengandungkan anak keduanya tidak pernah dikesalkan.
Sejak dari saat itu, wanita cekal berusia 36 tahun ini tidak pernah menoleh ke belakang dan mula berjinak-jinak meneroka bidang perniagaan makanan bermula tahun 2017.
Mula berniaga pek makanan kecil-kecilan
Berkat kesabaran ibu kepada tiga cahaya mata yang pada mulanya hanya menjalankan perniagaan penghantaran pek makanan secara kecil-kecilan kini bergelar usahawan daging dendeng.
Pengasas Sudip Kuali Enterprise (Sudip Kuali) itu berkata, daging dendeng merupakan salah satu menu yang ditawarkan sewaktu dia mengusahakan perniagaan tersebut.
Tiada latar belakang dalam bidang perniagaan bukan alasan untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu untuk terus berusaha dan mencari peluang untuk belajar serta mengembangkan perniagaannya.
“Saya mulakan dengan perniagaan dari rumah iaitu penghantaran pek makanan dan salah satu menu adalah daging dendeng dan ia merupakan menu paling laris pada masa itu.
“Seterusnya bila tiba musim perayaan, ramai yang membuat tempahan daging dendeng dan kita menjualnya sama ada dalam tupperware atau secara frozen (sejuk beku).
“Selepas dua tahun kita mula kenal kaedah retort bagi membantu produk ni untuk tahan lebih lama. Dari situ kami belajar, pergi kursus dan kami cuba kaedah itu dengan produk daging dendeng sahaja.
“Di situlah bermulanya macam mana tertubuhnya perniagaan daging dendeng dan kilang ini mula beroperasi pada tahun 2022,“ katanya ketika ditemui MalaysiaGazette Perak (MG Perak) di kilangnya di Seri Iskandar, baru-baru ini.
Rasa dendeng ibarat air tangan ibu
Katanya, memang tidak dinafikan produk daging dendeng semakin banyak di pasaran namun masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk produk keluaran Sudip Kuali ini.
“Kalau tengok daging dendeng ada banyak jenis antaranya jenis balado dan kalau dendeng Minang lain pula. Walaupun rupanya hampir sama namun resipinya berbeza-beza.
“Kebanyakkan maklumbalas yang diterima daripada pelanggan apabila mereka makan daging dendeng kami rasanya macam makan masakan orang dulu-dulu seperti masakan emak, nenek. Itu keistimewaan kita,“ ujarnya.
Bagaimanapun, Nor Shairah Aina berkata, untuk menghasilkan daging dendeng yang berkualiti serta mengekalkan rasa sama, prosesnya tidaklah mudah.
“Salah satu proses yang memakan masa lebih kurang satu hari adalah proses menggoreng bawang. Bawang kita goreng dan tidak menggunakan bawang goreng segera.
“Seterusnya proses merebus daging dan masak sehingga ke peringkat pembungkusan juga mengambil masa satu hari. Tempoh masa penyediaan daging dendeng adalah kesukaran yang perlu dilalui untuk menghasilkannya.
“Daripada segi hasil pengeluaran, untuk daging dendeng dan paru sahaja kita mampu mengeluarkan sekitar 2,000 pek manakala bagi musim perayaan ia boleh mencecah sehingga 5,000 pek,“ jelasnya.
NSK Grocer pilih Sudip Kuali
Menurutnya, setakat ini pasaran untuk daging dendeng dan paru adalah melalui ejen dan stokis di seluruh Malaysia
“Selain itu, produk ini boleh didapati di beberapa stesen minyak seperti Petronas dan Shell sekitar Perak. Ia turut dipasarkan di Halal Mart, Lembah Klang dan Yakin Mart di Bangi, Selangor.
“Terbaharu, kita telah memasarkannya di tujuh cawangan pasar raya NSK Grocer tujuh di Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor. Orang ramai juga boleh mendapatkan produk ini di platform media sosial seperti Shopee dan Tik Tok,“ jelasnya.
STeP, Yayasan Perak antara yang membantu
Dalam perkembangan sama, Nor Shairah Aina turut menjelaskan bagi memantapkan lagi perniagaannya, dia turut mendapat bantuan daripada agensi kerajaan.
Dia berkata, antara agensi kerajaan yang membantunya termasuklah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional dan Yayasan Perak.
“Step antara yang membantu kami dengan membawa produk daging dendeng ke MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) dan dari situ NSK Grocer telah ‘melamar’ kami untuk membantu memasarkan produk kami di pasar raya tersebut,” katanya.
Ujarnya, selain daging dendeng dan paru Sudip Kuali turut menghasilkan beberapa produk sedia untuk dimakan (ready to eat) yang lain iaitu daging salai masak lemak, daging masak hitam, sambal hijau ikan masin, kuih loyang dan yang terbaharu pucuk ubi bilis garing.
CSR bersama UKM
Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, dia turut tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Sudip Kuali bekerjasama dengan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk mengagihkan bakul makanan kepada pelajar yang memerlukan.
“Projek tersebut bermula pada tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini dengan kami menyediakan pek mini daging dendeng serta sambal hijau ikan masin untuk pelajar,” ujarnya.
Sudip Kuali ada sijil halal, MeSTI
Anak kelahiran Batu Gajah ini berkata, pelbagai rancangan telah diatur bagi mengembangkan perniagaan tersebut sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Kalau pasaran di Malaysia kita ada ejen yang membantu dan kita merancang untuk memasarkan di luar negara pula contohnya seperti di Brunei, Singapura dan negara-negara yang berhampiran.
“Kita juga telah memperoleh sijil halal pada awal tahun lalu dan pada 2023 kita telah mendapat pensijilan MeSTI (makanan selamat tanggungan industri),” jelasnya.
Jualan kombo raya daging dendeng bersama ketupat
Nor Shairah Aina berkata, sempena sambutan Aidilfitri ini, dia bersama rakannya yang menjalankan perniagaan ketupat palas mengadakan jualan kombo jimat untuk pelanggan-pelanggan mereka dengan harga amat berpatutan.
“Kita ada buat kombo ketupat palas dan daging dendeng untuk raya. Saya kolaborasi dengan rakan iaitu pengusaha ketupat palas, jadi harga lebih jimat,“ katanya.
Kesemua produk sedia dimakan keluaran Sudip Kuali dijual dengan harga bermula serendah RM10 sehingga RM20. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Projek kelulut Madani Pangkor UMT bantu jana pendapatan, jadi tarikan pelancong