MESKIPUN mempunyai kemahiran membaiki motosikal ia bukan halangan kepada Mior Samsul Mior Arifin, 35, untuk meneroka dan menceburi bidang baharu.
Bapa kepada empat cahaya mata ini, tidak pernah menyangka dirinya yang pernah bergelar sebagai ‘pomen’ kini menjadi juruterapi menawarkan perkhidmatan refleksologi dan urutan.
Bermula dengan menawarkan khidmat urutan dan bekam dari rumah ke rumah pada 2019, Mior Samsul kini mampu tersenyum apabila memiliki premis rawatan sendiri dikenali sebagai LC Rehab yang terletak di Seri Iskandar, Parit.
Menurut Mior Samsul, pada mulanya dia mempunyai minat dan terlibat dalam bidang automotif sejak dibangku sekolah sehingga menamatkan pelajaran dan bekerja di bengkel motosikal.
Bagaimanapun dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengehadkan kemahiran serta kebolehannya untuk meneruskan kerja sebagai ‘pomen’ motosikal.
“Bila saya lihat kemampuan badan selepas patah akibat kemalangan jalan raya sudah tidak seperti dahulu saya mula berfikir apa bidang atau pekerjaan lain yang boleh dilakukan.
“Saya ambil masa untuk mencari pekerjaan yang sesuai dan kebetulan pada masa itu isteri merupakan tukang urut lalu saya ambil keputusan untuk menyertainya,” katanya.
Tambahnya, bermula dengan menawarkan perkhidmatan urut dan bekam dalam kalangan rakan-rakan dan saudara-mara pada 2019 dia kemudiannya memandang serius pekerjaan tersebut selepas pandemik Covid-19.
“Kita mula dari rumah ke rumah dan masa itu jumlah pelanggan sedikit kerana mengharapkan promosi dari pelanggan yang pernah kami urut. Lebih tepat lagi promosi guna mulut ke mulut.
“Dari situ orang mula tahu saya dan isteri ada khidmat mengurut namun berhenti sekejap apabila Covid-19. Bila dibenarkan pergerakan kami ambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang ini,” katanya.
Kurang kemahiran dan tiada pemasaran cabaran awal perniagaan
Meskipun menerima tempahan mengurut dan bekam namun Mior Samsul berdepan kesukaran ekoran keterbatasan peralatan, kemahiran yang lebih baik serta bagaimana mempromosikan perkhidmatan yang beliau tawarkan.
Katanya, ia sedikit sebanyak menganggu perjalanan perniagaannya selain pendapatan mula berkurangan.
Dia kemudiannya mengambil langkah berani dengan mencari ilmu pengetahuan baharu seperti mengikuti kursus bagi menambah kemahiran serta mempelajari selok-belok perniagaan termasuk kaedah pemasaran.
“Masa mula-mula jumlah pelanggan kami memang sangat sedikit. Dalam sehari adalah seorang atau dua pelanggan sahaja dan pendapatan juga tidak menentu.
“Bila saya fikir semula rupanya kami kurang promosi dan waktu ini tidaklah berapa pandai untuk menggunakan platform sosial media yang ada selain rasa segan berada di hadapan kamera,” katanya.
Tambahnya, kekurangan peralatan juga menjadi kekangan buat dia untuk meluaskan lagi perkhidmatannya disamping kemahiran yang agak terhad ketika itu.
“Jadi apa yang saya buat adalah saya tanya rakan-rakan yang menawarkan perkhidmatan sama dan Alhamdulillah mereka berkongsi pengetahuan mereka.
“Dari situlah saya mula mengikuti kursus-kursus yang disediakan kerajaan bagi menambah kemahiran yang ada serta mempelajari selok-belok promosi menggunakan sosial media,” katanya.
Ikuti kursus tambah kemahiran dan pengetahuan
Mior Samsul berkata, asbab daripada itu beliau menjadi salah seorang usahawan asnaf di bawah projek PROPER A Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2022.
Lebih membanggakan dia dianugerahkan Peserta Terbaik Keseluruhan PROPER 2022 bagi Kursus Refleksologi dan Urutan Mobile.
Menurutnya, dia mengetahui mengenai kursus berkenaan daripada rakan-rakan yang memaklumkan bahawa MAIPk ada menyediakan latihan kepada golongan belia asnaf dalam membantu mereka menjana pendapatan.
Katanya, syarat dan tawaran yang ditetapkan juga menarik di mana para peserta perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam program tersebut.
“Jadi saya mohonlah dan dipanggil untuk interview (temubual). Masa ini dia lihat kita punya profile dan bila sudah lulus kita akan mengikuti kelas.
“Alhamdulillah saya diterima pihak MAIPk mengikuti kursus tersebut di bawah kelolaan dan bimbingan D’Alam Spa di Ipoh dengan diberi peralatan sekali seperti set bekam dan katil,” katanya.
Selain daripada MAIPk Mior Samsul turut menerima bimbingan daripada beberapa pihak seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Koridor Utara Malaysia (NCER) dan SME Bank.
Persepsi perlu diubah, tawar pendapatan lumayan
Ditanya mengenai pandangan segelintir pihak yang meremeh kerjaya dalam bidang relfeksologi dan urutan, Mior Samsul berkata, ia bergantung kepada kesungguhan mereka yang menjalankan pekerjaan tersebut.
Menurutnya, dengan kemahiran dan bimbingan mereka yang menceburi bidang berkenaan mampu memperoleh pekerjaan dan pendapatan tetap sepertinya.
“Sekiranya mendapat bimbingan yang betul, sekiranya orang kata belajar dengan ilmu yang betul, maka
rawatan kesihatan ini mampu memberi pendapatan yang lumayan.
“Namun persepsi mereka yang meletakkan urutan ini sekadar kerja yang tidak nampak masa hadapannya menyebabkan ramai golongan muda lebih memilih untuk tidak terlibat dalam bidang ini,” katanya.
Mior Samsul turut mengakui bidang relfeksologi dan urutan mampu menawar pendapatan lumayan memamdangkan permintaan terhadap perkhidmatan ini sentiasa ada. -MG Perak