KUANTAN – Kerajaan negeri mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands ditindas dengan kadar sewa yang dinaikkan sehingga RM7,500 sebulan dan sedang menyiasat aduan berkenaan.
Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Sim Chon Siang berkata pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu minggu lepas dan akan mengambil tindakan segera sekiranya wujud kenaikan tersebut.
“Memang saya dapat aduan yang (sewa) pasar dinaikkan dari RM500. Jadi, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tengah siasat mengapa boleh jadi begini. Lepas siasat, nanti kita beritahu apa masalah.
“Biar kami siasat dahulu sebelum bagi jawapan yang tepat… dalam dua minggu (anggaran siasatan),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man mewakili Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Leong berkata kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan harga jualan termasuk di lokasi pelancongan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan yang menindas pengguna.
“Sekiranya kita terima aduan, kita berharap tindakan dapat diambil. Dan pada masa yang sama, kita juga berharap peniaga-peniaga juga dapat bekerjasama dengan kita sebab tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Mohd Sophian Mohd Zain bersama pasukannya turun ke Cameron Highlands baru-baru ini, susulan aduan peniaga di Medan Agro telah ditindas dengan kadar sewa dinaikkan dari RM500 kepada RM7,500.
Sementara itu, Leong ketika ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang aduan mengenai isu daftar masuk hotel pada pukul 4 petang, beliau berkata hasil semakannya mendapati situasi tersebut setakat ini tidak berlaku di Pahang.
“Kita difahamkan daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bahawa waktu daftar masuk, daftar keluar itu adalah berdasarkan permintaan pasaran. Dan pihak MOTAC, tidak boleh menentukan masa daftar masuk, daftar keluar untuk setiap hotel sebab setiap tempat situasi tak sama.
“Sebagai contoh di Pulau Tioman, masa daftar masuk dan daftar keluar bergantung kepada masa feri sampai ke pulau ataupun bertolak dari pulau,” katanya.
Baru-baru ini tular isu berhubung tindakan segelintir pihak hotel menetapkan waktu daftar masuk bermula 4 petang dan daftar keluar seawal 11 pagi.
— BERNAMA