IPOH – Dakwaan bahawa permohonan kemasukan ke pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Perak khususnya warga emas melebihi kapasiti, tidak benar.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, terdapat tiga buah Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas yang diselia JKM.
Menurut beliau, kapasiti pusat jagaan yang dikendalikan oleh JKM Perak berada dalam keadaan terurus dan terkawal dengan pengisian sebanyak 75.5 peratus dari 530 kekosongan.
“Permohonan kemasukan sentiasa dinilai secara teliti berdasarkan syarat kelayakan, penilaian kes demi kes oleh Pegawai Pelindung dan keputusan Mahkamah.
Tiada keadaan di mana permohonan adalah begitu tinggi sehingga melepasi kapasiti dan menjejaskan fungsi serta standard kebajikan di institusi berkenaan seperti yang digambarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Salbiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor berkata, JKM Perak kini menyelia tiga buah Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Jelas beliau, sehingga November 2025, jumlah keseluruhan penghuni warga emas di ketiga-tiga institusi ini ialah seramai 400 orang.
“Mereka terdiri daripada 249 lelaki dan 151 perempuan atau bersamaan dengan 75.5 peratus pengisian dari 530 kekosongan.
“Mereka ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Taiping, Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta dan Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar,” katanya. -MG Perak


