IPOH– DAP menegaskan parti itu tidak pernah menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan MCA, sebaliknya fokus utama mereka adalah memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta membangunkan negara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerjasama yang wujud ketika ini adalah dalam kerangka Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).
“MCA tiap-tiap hari cakap bagi kenyataan macam-macam, kata tak mahu kerjasama dengan DAP.
“Kita (DAP) pun tak pernah cakap nak kerjasama dengan mereka. Jadi jangan perasan sangat bahawa DAP hendak bekerjasama dengan mereka (MCA),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dan Bendahari DAP, Ngeh Koo Ham.
Dalam perkembangan sama, Anthony menjelaskan bahawa jika MCA tidak berpuas hati terhadap sebarang perkara mereka perlu menyelesaikannya dalam Barisan Nasional (BN).
“Apabila kita bekerjasama dengan BN, biarlah BN putuskan macam mana hendak adakan kerjasama ini pada pilihan raya depan. Kalau mereka (DAP) tidak puas hati, tak suka hati, selesaikanlah dalam BN.
“Setakat ini, yang saya tahu, pemimpin-pemimpin utama dalam BN, terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO mereka duduk dalam kabinet dan mereka sudah pun selalu memberikan komitmen untuk memperkuatkan Kerajaan Perpaduan ini.
“Tetapi saya lihat sekarang ini, pemimpin MCA, MIC ini suka bagi kenyataan yang bercanggah.
“Mungkin mereka rasa mereka tak sebahagian daripada kerajaan ini, saya tak tahulah. Ini terpulang kepada mereka. Tapi saya nak katakan bahawa DAP sentiasa bersiap-siaga,” ujarnya.
Katanya, fokus utama DAP ketika ini adalah memajukan negara, merancakkan ekonomi serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Paling penting fokus kita sekarang ialah untuk membangunkan negara, memajukan ekonomi. Soal pilihan raya, kita tunggu sampai pilihan raya. Sudah tentu kita ada strategi kita, kita ada persiapan kita.
“Tapi bagi kita, fokus utama yang saya nak semua pemimpin DAP, terutamanya setiap wakil rakyat, yang pertamanya mesti berkhidmat baik kepada rakyat di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, MCA sukar menerima kerjasama dengan DAP walaupun berada dalam kerajaan yang sama.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong dilaporkan berkata, realitinya DAP yang selalu ‘mengusik’ MCA dengan terbaharu Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin secara tiba-tiba mencadangkan MCA dibubarkan dan menyertai parti itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: