DAP kecam hukuman mati terhadap rakyat Palestin

KUALA LUMPUR – Tindakan Parlimen rejim Israel meluluskan undang-undang hukuman mati terhadap rakyat Palestin disifatkan sebagai perkembangan membimbangkan yang mencetuskan kemarahan global.

Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto menegaskan undang-undang baharu yang diluluskan di Knesset itu bukan sahaja melanggar prinsip kemanusiaan, malah membuka ruang kepada pelaksanaan hukuman mati secara meluas terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, undang-undang tersebut membolehkan rejim Israel melaksanakan hukuman mati terhadap rakyat Palestin khususnya di Tebing Barat yang dipenjarakan atas tuduhan serangan pengganas, walaupun rang undang-undang itu baru sahaja diluluskan.

“Undang-undang baharu untuk menggunakan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang diluluskan di Knesset oleh Kerajaan Israel bersifat kejam, primitif, tidak berperikemanusiaan dan merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang mesti dikecam oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Israel Prison Service telah memulakan kerja infrastruktur bagi pelaksanaan hukuman mati walaupun tiada pengecualian jelas untuk kanak-kanak.

Selain itu, rakyat Palestin juga tidak mempunyai ruang rayuan selepas hukuman dijatuhkan.

Kasthuri turut memetik tindakan Persatuan Hak Sivil di Israel yang akan memfailkan petisyen mahkamah kerana Knesset didakwa tidak mempunyai bidang kuasa meluluskan undang-undang tersebut di wilayah yang tidak berada di bawah kedaulatan rasmi Israel.

Menurut kenyataan itu, dunia kini menyaksikan hak asasi manusia semakin terhakis ketika konflik berterusan.

“Hukuman mati di Israel menggunakan kaedah menggantung dan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas hukuman dijatuhkan,” katanya.

Beliau turut merujuk laporan B’Tselem yang menyatakan sehingga Disember 2025, seramai 9,128 rakyat Palestin ditahan atas alasan keselamatan termasuk 1,477 dari Semenanjung Gaza, selain ratusan kanak-kanak yang sebahagiannya ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Sehubungan itu, DAP menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan tegas terhadap Israel sambil menegaskan tindakan tersebut perlu diambil segera bagi memastikan negara itu dipertanggungjawabkan atas pencabulan hak asasi manusia dan jenayah perang.

“Pengumuman ini telah mencetuskan gelombang kebimbangan dan kutukan dari seluruh dunia memandangkan Israel masih sedang giat meneruskan usahapembunuhan beramai-ramai dan genosid terhadap rakyat Palestin.

“Dalam era ini, dalam dunia multipolar, ketika konsep peperangan lebih menarik daripada konsep keamanan, hak asasi manusia serta ekosistem dan infrastruktur yang melindungi, memelihara dan menjunjungya semakin terhakis,” katanya lagi.

Isnin lalu, Parlimen (Knesset) Israel meluluskan undang-undang diskriminasi yang mengenakan hukuman mati ke atas penduduk Palestin.

Rang undang-undang kontroversi itu menerima 62 sokongan termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu manakala 48 menolak.

Untuk rekod, undang-undang berat sebelah yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari itu memberi lampu hijau kepada mahkamah tentera untuk menjatuhkan hukuman kejam ke atas penduduk Palestin yang berdepan tuduhan melakukan keganasan ke atas puak Yahudi atau askar mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI