Dari hobi ke ladang dhab, kini jadi pendapatan utama

TAIPING – Siapa sangka, bermula dengan hanya memelihara dhab sebagai hobi kira-kira 30 tahun lalu, kini Azhar Mohamad Shafawi, 52, berjaya membuka ladang ternakan biawak padang pasir itu seluas hampir satu hektar di Kamunting yang dinamakan Dhabsinai Farm.

Mengimbau kembali, Azhar mula berjinak-jinak dalam perniagaan dhab sewaktu masih menuntut dalam Ijazah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir dan mula mempelajari cara penghasilan minyak dhab dari rakan sekuliah.

Kemudian, beliau mengambil keputusan untuk membawa sepasang dhab ke Malaysia dan menjalankan jualan produk berasaskan dhab secara kecil-kecilan di kaki lima, pasar malam serta pasar tani bagi menampung yuran pengajian.

Menurutnya, pada tahun 90-an tiada peruntukan undang-undang yang menghalang membawa haiwan peliharaan dari negara luar masuk ke Malaysia menaiki pesawat komersial namun permit untuk memelihara haiwan tersebut perlu diperoleh.

Dari hobi ke ladang, dhab kini jadi punca pendapatan utama Dhabsinai Farm.
Mahu berkongsi khasiat yang tinggi haiwan padang pasir, dhab kepada kesihatan, seorang bekas guru agama membuka sebuah ladang ternakan dhab atau nama saintifiknya Uromastyx aegyptia yang pertama di negara ini. Ladang seluas hampir satu hektar yang terletak di Kamunting di sini itu kini menempatkan 180 ekor dhab termasuk yang dibiakkan dari induk tertua berusia 21 tahun. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dari laman rumah ke ladang

Bekas guru agama sekolah ini pada mulanya menternak dhab bagi tujuan komersial di laman rumahnya di Kampung Expo, Kamunting, bagaimanapun, apabila haiwan itu mula membiak, kawasan itu sudah tidak sesuai dan beliau berpindah ke lokasi baharu.

“Lokasi lama agak sempit, bila ada 80 hingga 100 ekor dhab ditempatkan di satu kawasan, mereka akan bergaduh. Jadi saya mencari alternatif lain dan jumpa kawasan ini.

“Saya beli tanah, tambak, buat titi, bina kandang dhab di kawasan baharu yang lebih luas dan selesa untuk pembiakan dhab.

“Selain itu, kita lebih senang untuk memantau dhab dan penyakit juga susah untuk menyerang haiwan ini. Secara tidak langsung kita boleh dapat hasil yang maksimum dan jualan produk pun senang,” jelasnya.

Dari hobi ke ladang, dhab kini jadi punca pendapatan utama
Dhab yang diternak oleh Azhar Mohamad Shafawi, 52, ketika ditemui MG Perak di ladang Dhab ternakannya di Kawasan Perindustrian Kamunting, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Katanya, pengalamannya sejak 30 tahun lalu mengajarnya cara untuk menjaga dhab dengan memaksimumkan habitatnya.

“Hari-hari saya belajar bagaimana hendak memaksimumkan habitat dhab supaya boleh membesar dengan cepat dan memperoleh hasil terbaik dari haiwan itu.

“Alhamdulillah, kesemua 44 kandang dhab di sini dilengkapi lampu mentol dan dikelilingi spotlight serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan dhab dan mengelakkannya diserang haiwan pemangsa seperti ular dan monyet,” ujarnya.

Dari hobi ke ladang, dhab kini jadi punca pendapatan utama
Antara bahan ramuan yang diimport dari Mesir untuk membuat produk minyak urut dhab oleh Azhar Mohamad Shafawi, 52, di Kawasan Perindustrian Kamunting, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dhab ada gout?

Bapa kepada tiga orang anak ini mengakui bukan mudah untuk menjaga dhab memandangkan haiwan itu sentiasa memerlukan cuaca panas.

“Cara penjagaan dhab di Malaysia dan Arab sama sahaja yang penting kita perlu cuaca panas. Kalau di negara Arab memang panas dan tidak perlu sediakan spotlight namun di sini kena sesuaikan dengan persekitarannya.

“Kita bina tempat yang panas macam di sana (Arab) juga supaya dhab boleh bertahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dhab juga boleh dijangkiti penyakit seperti respiratory infection (RI) iaitu jangkitan paru-paru dan metabolic bone disease (MBD) penyakit bengkak tulang dan gout.

Dari hobi ke ladang, dhab kini jadi punca pendapatan utama
Pemilik ladang ternakan dhab, Azhar Mohamad Shafawi, 52, menunjukkan minyak dhab yang telah diproses di dalam periuk untuk dijadikan produk minyak urut ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Kamunting, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Oleh itu, bagi mengelakkan dhab didatangi penyakit, kita kena jaga dengan baik haiwan ini. Sewaktu, dhab masih kecil kita akan kuarantin bagi mengelakkan daripada terkena jangkitan paru-paru.

“Bila dhab meningkat dewasa untuk mendapat penyakit tulang tinggi, jadi tidak boleh terlebih kalsium dan jika terlebih protein boleh menjejaskan buah pinggang dan gout.

“Jika tidak cukup cahaya matahari, dhab tidak boleh bersalin kulit dengan sempurna dan kalau terlalu sejuk nanti dhab akan berhingus dan akan menyerang paru-paru,” katanya.

Tambahnya, menerusi penjagaan yang baik, dhab mampu hidup sehingga mencecah usia 30 tahun di negara ini.

Minyak, kapsul dhab paling laris

Beliau berkata, terdapat beberapa jenis produk berasaskan dhab dikeluarkan antaranya bam, majun kopi dan teh namun yang terlaris adalah minyak serta kapsul.

Katanya, pelbagai bahagian badan dhab boleh digunakan untuk menghasilkan produk berasaskan kesihatan.

“Sebagai contoh, kita ambil lemak dalam perut dhab untuk dijadikan minyak. Kita juga akan keringkan dhab kemudian dikisar menjadi serbuk sebelum dimasukkan ke dalam kapsul, ditambah ke dalam serbuk kopi dan teh serta masak bersama madu untuk menghasilkan majun.

Dari hobi ke ladang, dhab kini jadi punca pendapatan utama
Pemilik ladang ternakan dhab, Azhar Mohamad Shafawi, 52, menunjukkan antara beberapa produk kesihatan yang dihasilkan olehnya ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Kamunting, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Setakat ini, minyak dan kapsul paling laku yang dipercayai mampu untuk mengurangkan masalah melibatkan peredaran darah dan menguatkan badan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan ladang ternakan dhab ini turut mendapat kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) malah produk mereka mempunyai Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan sijil halal.

Agensi kerajaan bantu perkenal dhab

Dalam pada itu, Azhar berkata, beliau turut mendapat bantuan daripada beberapa agensi kerajaan untuk memperkenalkan dhab kepada orang ramai melalui pameran dan ekspo.

“Saya dibantu dan mendapat khidmat nasihat daripada beberapa agensi antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corporation Malaysia; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Melalui agensi saya mendapat bantuan iklan dengan menyertai pameran dan ekspo antara  Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA); Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Utara dan Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi Perak dan SDSI di Melaka tahun lalu,” katanya yang 20 tahun mempromosikan dhab menerusi medium berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan adanya ladang ternakan tersebut orang ramai akan lebih mengenali dan mendapat informasi lebih terperinci berkaitan dhab. – MG Perak

VIDEO:

MGPerak: Dari Hobi Ke Ladang Dhab, Kini Punca Pendapatan Utama

MGPerak: Dari Hobi Ke Ladang Dhab, Kini Punca Pendapatan Utama

Artikel Berkaitan:

Dulu pengurus produksi, kini bergelar tauke sambal Syilis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI