Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong menekuni seni inai

MINAT mendalam terhadap seni lukisan membawa Nor ‘Izzati Mohamad Tajuddin, 25, anak jati Lenggong, Perak menjalankan perniagaan perkhidmatan berinai yang kini menjadi sumber pendapatan sepenuh masa.

Dia yang menetap di Kampung Luat berkata, pada awalnya minat itu hanya sekadar hobi dan rakan-rakannya akan menjadi ‘kanvas’ apabila mereka datang ke rumah untuk melukis inai setiap kali musim perayaan.

Daripada situ, Nor ‘Izzati tidak menoleh ke belakang dan mula menjalankan perniagaan perkhidmatan berinai sejurus tamat persekolahan pada tahun 2017.

Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong tekuni seni inai
Artis henna, Nor ‘Izzati Mohamad Tajuddin, 25, ketika temubual bersama MG Perak di Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2025.

“Kawan-kawan memang memberi galakan kepada saya untuk menceburi perniagaan ini supaya dapat menjadi sumber pendapatan.

“Pada mulanya saya hanya menjalankan perniagaan tersebut separuh masa dan kini saya melakukannya sepenuh masa selepas hampir lapan tahun berkecimpung dalam perkhidmatan berinai,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Lenggong, baru-baru ini.

Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong tekuni seni inai
Artis henna, Nor ‘Izzati Mohamad Tajuddin, 25, turut menghasilkan lukisan inai menggunakan rekaan sendiri mengikut permintaan pelanggan ketika ditemui MG Perak di Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2025.

Reka corak, motif sendiri

Dalam perkembangan sama, artis henna atau inai itu menceritakan sumber corak dan motif lukisan inai diperoleh daripada rakan-rakan senior yang lebih berpengalaman dalam bidang tersebut.

Selain itu, Nor ‘Izzati turut menghasilkan lukisan inai menggunakan rekaan sendiri mengikut permintaan pelanggan.

“Kebanyakan corak saya peroleh daripada senior-senior yang saya ikut ketika menjalankan perkhidmatan berinai.

Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong tekuni seni inai
Artis henna, Nadzilah Binti Ahmad Nadzri, 32, turut menghasilkan lukisan inai menggunakan rekaan sendiri mengikut permintaan pelanggan ketika ditemui MG Perak di Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2025.

“Selepas itu, ada corak yang saya reka sikit-sikit mengikut permintaan pelanggan dan pasaran sekarang.

“Saya juga amat menitikberatkan kekemasan dan kepuasan pelanggan. Kalau pelanggan tidak berpuas hati, saya akan pulangkan semula wang kerana apa yang penting adalah hasil yang kemas dan memuaskan,“ ujarnya.

Empat jam lukis inai pengantin

Katanya, sejak mula menjalankan perniagaan tersebut, dia menerima tempahan pelanggan khususnya dari Lenggong.

Tambahnya, pemakaian inai pada masa kini tidak sekadar merah semata-mata kerana ada juga versi inai berwarna hitam dan putih.

“Permintaan tertinggi biasanya untuk malam berinai, majlis nikah, sanding, bertunang, malah ada juga pelanggan yang membuat tempahan sempena perayaan.

Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong tekuni seni inai
Artis henna, Nadzilah Binti Ahmad Nadzri, 32, turut menghasilkan lukisan inai menggunakan rekaan sendiri mengikut permintaan pelanggan ketika ditemui MG Perak di Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2025.

“Tempoh masa untuk menyiapkan rekaan  bergantung kepada pelanggan. Paling lama, saya pernah melukis inai selama empat jam bagi pengantin dan sekitar 15 minit untuk corak biasa bagi mereka yang ‘walk-in’.

“Setakat ini, perkhidmatan saya bermula dari Gerik sehingga Kuala Kangsar dan caj yang dikenakan bergantung pada jarak lokasi. Kalau jarak jauh sekitar RM200 dan ke atas,“ katanya yang sering bekerjasama dengan artis henna lain di sekitar Lenggong.

Galak belia ceburi seni lukis inai

Nor ‘Izzati turut menggalakkan lebih ramai belia yang berbakat dalam seni untuk menceburi bidang ini serta memasang impian untuk mengembangkan lagi perniagaannya pada masa hadapan.

Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong tekuni seni inai
Artis henna, Nor ‘Izzati Mohamad Tajuddin, 25, turut menghasilkan lukisan inai menggunakan rekaan sendiri mengikut permintaan pelanggan ketika ditemui MG Perak di Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OGOS 2025.

“Kepada mereka yang mempunyai bakat dalam seni lukisan boleh mencuba untuk melukis inai kerana ia adalah satu perkara yang menyeronokkan sebab kita dapat menzahirkan hasil rekaan di tangan orang. Itu menjadi satu kepuasan bagi saya.

“Kalau ada peluang dan ruang, memang saya ingin masuk dalam industri henna yang semakin berkembang dan menyertai pasukan artis henna Malaysia,” katanya yang amat mengagumi hasil rekaan artis henna, Miera Sufian Tan – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cinta pastri, barang vintaj, Azmil buka kedai impian pada usia 50 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI