KUALA LUMPUR – Hubungan yang suatu ketika dulu dilihat rapat kini bertukar dingin apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui berasa janggal untuk duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat.
Situasi itu menjadi perhatian selepas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menamakan Muhyiddin sebagai ‘musuh nombor satu’ pada waktu ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, faktor itu antara sebab beliau tidak menghadiri persidangan Parlimen minggu ini.
“Saya tak pergi ke Parlimen minggu ini kerana sebab satu tidak berapa sihat.
“Keduanya, bila dengar duduk sebelah Hamzah (di Dewan Rakyat) saya tak nak duduklah. To be frank, it’s not that because I want to be absent (terus terang, bukan kerana saya mahu tidak hadir), (tetapi sebab) janggal,” katanya ketika ditemui media di ibu pejabat Bersatu semalam.
Hamzah yang dipecat keahliannya daripada Bersatu pada 13 Februari lalu sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai penentang utama Muhyiddin dan menyebut beliau sebagai ‘musuh nombor satu’ Presiden parti itu.
Terdahulu, foto kerusi Muhyiddin yang kosong di Dewan Rakyat mencetuskan spekulasi, namun Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu tetap hadir dan mengambil tempat di blok pembangkang bersebelahan Muhyiddin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan Hamzah sepatutnya sedar kedudukannya dan berundur secara terhormat.
“The best thing is for him to leave (cara terbaik bagi beliau adalah berundur). Saya sendiri ada cakap dengannya pergi cara baik. Tapi beliau kata tidak, sebab saya masih tidak terpecat lagilah. Hang hendak tunggu orang pecat (pula),” katanya. -MalaysiaGazette


