WALAUPUN berakar daripada tradisi pahlawan dan golongan bangsawan, sukan memanah berkuda kini bukan lagi hak eksklusif golongan elit, malah diterima sebagai sukan warisan yang boleh diceburi semua.
Sukan warisan itu kini semakin terbuka kepada semua lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Ini terbukti apabila Muhammad ‘Ash Arif Khairul Azhar, 15, terpilih untuk beraksi di pentas antarabangsa pada Kejohanan Youth Asian Championship (Asian Junior Horseback Archery Championship) 2025 yang berlangsung di Kazakhstan pada bulan lalu.
Mula aktif sejak 2023
Anak bongsu daripada dua adik beradik ini bermula daripada kosong namun sekarang dia mampu mempamerkan kemahiran dipelajarinya dalam sukan yang menjadi kegemaran Rasulullah SAW itu.
KRT Horse Stable and Archery yang terletak di kawasan perumahan Taman Tasek Putra, Tronoh menjadi lokasi Muhammad ‘Ash Arif menjalani latihan intensif bagi memastikan dirinya sentiasa bersedia untuk menghadapi pertandingan sukan memanah berkuda pada masa akan datang.
“Awalnya saya hanya cuba-cuba kerana terinspirasi daripada keluarga. Alhamdulillah, sekarang saya sudah melekat dengan sukan ini. Saya mula aktif pada 2023 selepas memiliki kuda sendiri dan terus bersemangat untuk berlatih.
“Keluarga turut memainkan peranan besar dalam memberi dorongan, termasuk ibu dan makcik yang turut meminati sukan ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di KRT Horse Stable and Archery, Tronoh.
Sertai pertandingan pertama pada 2024
Menurutnya, dia menyertai pertandingan pertama pada Mei 2024 sebelum berpeluang mengikuti kem latihan bersama jurulatih dari Indonesia.
“Saya mula menjalani latihan dan melakukan teknik yang betul kemudian saya menyertai grading. Alhamdulillah, mata yang diperolehi konsisten dan semakin naik.
“Selepas itu, saya dimaklumkan ada pemilihan untuk kejohanan di Kazakhstan dan masuk sebagai pengganti bersama tiga lagi rakan sepasukan bagi mewakili Malaysia,” ujarnya.
Katanya, dia menggunakan dana sendiri untuk bertanding di kejohanan berprestij yang disertai 10 negara dan Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima.
Guna dana sendiri, timba pengalaman di Kazakhstan
Mengulas pengalamannya di Kazakhstan, anak kelahiran Selangor ini mengakui cabaran besar datang daripada faktor cuaca tidak menentu selain penggunaan kuda baharu.
“Di sana kami berkongsi kuda, empat atlet untuk seekor kuda. Cabaran agak besar sebab kejohanan diadakan di tepi pantai, dengan cuaca panas, sejuk dan angin kuat. Tapi, alhamdulillah semua berjalan lancar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pengalaman bertemu atlet dari Turkiye, China, Russia, Kazakhstan dan Indonesia membuka matanya terhadap tahap latihan lebih intensif yang diamalkan oleh negara luar.
VIDEO: MGPerak: Ash Arif Lakar Kejayaan Di Sebalik Cabaran Memanah Berkuda Di Kazakhstan
“Walaupun mereka hebat, semua sangat peramah dan sudi berkongsi ilmu. Itu yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.
“Selepas ini saya fokus untuk memperkukuh prestasi di dalam negara terlebih dahulu sebelum menyasarkan ke kejohanan lebih besar di luar negara.
“InshaAllah pada 27 September ini saya akan menyertai pertandingan di Hulu Yam bersama kelab saya, Arba Equestrian Archery. Jika ada rezeki, saya juga berhasrat menyertai Nation Cup di Indonesia pada Oktober atau November nanti,” katanya.
Muhammad ‘Ash Arif berkata, walaupun masih menampung latihan dengan dana sendiri, semangat untuk terus mengangkat sukan memanah berkuda ke tahap lebih tinggi tidak pernah pudar.
Muhammad ‘Ash Arif atlet berpotensi
Sementara itu, jurulatih, Mohammad Alfi Syahmi Mohammad Sofian berkata, Muhammad ‘Ash Arif mempunyai potensi yang besar dalam sukan tersebut.
Katanya, kehadiran remaja berusia 15 tahun itu secara konsisten setiap hari menjadi bukti bahawa beliau benar-benar mahu memberi sepenuh komitmen sebagai seorang atlet.
“Tidak semua yang datang ke sini mahu memberi tumpuan sepenuhnya. Ada yang menjadikannya sekadar hobi, ada juga yang hanya suka-suka. Tetapi Muhammad ’Ash Arif berbeza kerana dia mahu lebih serius sebagai atlet.
“Sebab itu kami susunkan jadual latihan khas untuknya. Tambahan pula, dia tinggal berdekatan, jadi mudah untuk hadir setiap hari,” katanya.
Kepantasan, kestabilan, ketepatan
Jelas Mohammad Alfi Syahmi, perjalanan Muhammad ’Ash Arif bermula dengan mempelajari asas menunggang kuda sebelum beralih kepada teknik memanah.
“Memanah berkuda adalah disiplin paling mencabar dalam sukan memanah kerana ia menggabungkan dua kemahiran utama iaitu menunggang kuda dan memanah. Atlet perlu menguasai kestabilan di atas kuda selain ketepatan memanah,” ujarnya.
Menurutnya, memanah berkuda bukan sekadar memerlukan keberanian, malah ia menuntut tiga aspek utama iaitu kepantasan, kestabilan dan ketepatan.
“Gabungan tiga elemen tersebut menjadikan sukan itu antara yang paling sukar untuk dikuasai kerana memerlukan latihan berterusan dan disiplin tinggi.
“Terus terang, latihan memanah berkuda memang susah. Arif sendiri sudah berdepan pelbagai cabaran dan kecederaan sepanjang sesi latihan.
“Seperti juga penunggang motosikal atau pelumba basikal yang pasti mengalami jatuh, begitu juga dengan penunggang kuda.
“Bezanya, risiko menunggang kuda jauh lebih besar kerana kita berdepan dengan haiwan yang kekuatannya berpuluh kali ganda daripada manusia,” katanya.
Sukan berisiko tinggi
Tambahnya, antara kecederaan biasa yang dialami penunggang termasuk jatuh dari kuda, dipijak, ditendang, malah ada juga yang digigit.
“Bidang berkuda ini sememangnya berisiko tinggi. Apatah lagi memanah berkuda kerana kita membawa senjata di atas belakang kuda. Jika jatuh, risiko kecederaan boleh datang bukan sahaja daripada kuda, malah daripada peralatan yang dibawa.
“Sebab itu disiplin menjadi perkara paling utama bagi memastikan keselamatan atlet dan juga haiwan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sasar jadi hab kafe kopi bertaraf dunia