KEUTUHAN institusi keluarga yang menjadi unit asas kepada pembentukan sesebuah negara kian teruji tatkala kini mendepani transisi era transformasi digital dan himpitan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Menyedari perkembangan itu, kerajaan meluncurkan Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) pada program Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ipoh, baru-baru ini.
Peluncuran inisiatif ini boleh disifatkan sebagai satu langkah intervensi strategik kerajaan bagi memastikan tiada golongan rakyat yang terpinggir daripada jaringan keselamatan sosial.

DKKN digubal sebagai penambahbaikan kepada Dasar Keluarga Negara yang diwujudkan 16 tahun lalu dengan pendekatan yang lebih responsif, inklusif, berasaskan data dan berfokus kepada pelaksanaan.
Ia antara lain bermatlamat untuk memperkasakan peranan semua ahli keluarga sebagai tunjang keseimbangan institusi kekeluargaan bagi memastikan kestabilan sosial negara.
Di peringkat negeri, dasar Persekutuan itu dilihat menemui titik pertemuan yang harmoni dengan gagasan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan secara menyeluruh.

Ketika berucap pada majlis peluncuran tersebut, Saarani berkata, kekuatan sesebuah negara tidak boleh diukur melalui pertumbuhan ekonomi sahaja, sebaliknya ia bergantung kepada ketahanan institusi keluarga.
Menurut beliau, negara yang ekonominya berkembang tetapi institusi keluarganya rapuh sebenarnya sedang membina kemajuan yang sukar bertahan apabila diuji dengan dugaan.
“Kita boleh bercakap tentang angka pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Semua itu penting.
“Tetapi bagi rakyat biasa, yang lebih utama ialah bagaimana mereka mahu memastikan dapur terus berasap, anak-anak terus bersekolah dan keluarga dapat terus berteduh dengan selamat,” katanya.

Tambah Saarani, keluarga yang stabil akan melahirkan masyarakat yang harmoni, manakala keluarga yang tertekan akibat cabaran ekonomi boleh memberi impak kepada generasi muda.
“Apabila keluarga tertekan akibat kos sara hidup dan cabaran pekerjaan, kesannya bukan sahaja kepada kewangan, malah menjejaskan emosi, pelajaran anak-anak dan keyakinan mereka terhadap masa depan,” ujarnya.
Saarani berkata, justeru itu kerajaan negeri melihat DKKN sebagai ikhtiar yang bermakna kerana usaha memperkukuhkan institusi keluarga bukan suatu pilihan, sebaliknya ia adalah kemestian.

Tambah beliau, dasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tersebut membawa mesej jelas bahawa nilai tanggungjawab, hormat dan ihsan harus terus diperkasa supaya rumah kekal menjadi tempat yang paling selamat bagi setiap insan.
“Perak Sejahtera 2030 bukan hanya pelan pembangunan fizikal, tetapi komitmen untuk memastikan kemajuan ekonomi berjalan seiring dengan kekuatan sosial dan kestabilan keluarga.
“Gagasan Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030 bergerak seiring; satu memandu arah nilai negara, sementara satu lagi memastikan pelaksanaannya benar-benar dirasai rakyat di peringkat negeri,” ujar Saarani.
Keluarga sebagai asas ketahanan negara
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, DKKN digubal sebagai kerangka komprehensif yang mengambil kira keseluruhan kitaran hayat keluarga, iaitu daripada praperkahwinan hingga ke fasa warga emas.
Beliau berkata, Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030 yang menyokong DKKN menetapkan peranan jelas kepada pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Menurut Nancy, DKKN digerakkan melalui lima teras strategik dengan mempunyai 16 strategi, tiga mekanisme pemudah cara, serta 43 tindakan bersepadu yang diselaraskan bagi memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.
“Kadar kelahiran Malaysia kini berada pada tahap 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian, manakala negara dijangka mencapai status negara tua menjelang 2033.
“Perubahan struktur umur ini memberi implikasi besar kepada tenaga kerja masa hadapan, sistem sokongan antara generasi serta keupayaan negara mengekalkan daya tahan sosial dan ekonomi,” jelasnya.

Pelaksanaan DKKN dan penjajarannya dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa pembangunan modal insan serta elemen ihsan kini diletakkan di kedudukan paling atas dalam agenda pembinaan negara.
Justeru, kerangka dasar bersama pelan pembangunan negeri itu jika direalisasikan dengan sinergi yang baik antara negeri dan Persekutuan, ia berpotensi besar menjadi penanda aras kepada pengurusan krisis sosioekonomi yang ampuh.
Dalam erti kata lain, masa depan sesebuah negeri dan negara bukan sekadar ditentukan oleh angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi oleh kekuatan keluarga yang menjadi asas kepada seluruh struktur sosial. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


