IPOH – Pelancaran Dashboard Hartanah@Perak membolehkan Kerajaan Negeri memantau pencapaian sasaran perumahan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih komprehensif.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sekali gus menyediakan sumber rujukan yang jelas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal dan orang awam.
“Dashboard Hartanah@Perak merupakan platform pelaporan digital berasaskan geospatial yang membolehkan maklumat pembangunan perumahan di seluruh negeri dipaparkan secara lebih terperinci, telus dan mudah dicapai.
“Dashboard yang dibangunkan melalui kerjasama UPEN (PerakGIS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ini memeta dan memprofilkan projek perumahan meliputi perancangan, status pembinaan, lokasi, kategori perumahan serta kedudukan projek sakit dan projek terbengkalai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Rabu.
Saarani berkata, pelancaran berkenaan diadakan sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 yang memasuki edisi kedua di mana program dwi tahunan itu memberi tumpuan kepada pengukuhan penggunaan data spatial dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata, bertemakan ‘GIS Nadi Transformasi Sosioekonomi Berdaya Tahan’, program itu mengangkat kepentingan teknologi geospatial sebagai asas kepada keputusan berasaskan data dalam sektor perumahan, keselamatan, kesihatan awam dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Program ini turut menghimpunkan pakar-pakar geospatial serta menampilkan pameran oleh PerakGIS, PDRM, Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Manjung dan JUPEM.
“Ia sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem data spatial negeri, di samping memperluas kefahaman terhadap potensi analitik geospatial dalam menyokong pembangunan negeri,” katanya.
Tambah beliau, selaras dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri Perak memberi keutamaan kepada pengukuhan perkongsian dan integrasi data merentas jabatan serta agensi negeri bagi memastikan pengurusan data spatial menyokong perancangan dan pemantauan pembangunan dengan lebih efektif.
“Pendekatan ini penting untuk memastikan dashboard Hartanah@Perak berfungsi secara optimum dan menyokong usaha Kerajaan Negeri menjadikan Perak sebuah negeri yang moden, berdaya saing serta dipacu oleh penggunaan data dan teknologi,” katanya. -MG Perak


