Dataran Nordin Tanjung Belanja Port ‘healing’ tepi sungai

PARIT – Pernah memainkan peranan penting dalam nadi sejarah negeri, Sungai Perak sepanjang 400 kilometer (km) merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Sungai Pahang.

Sejarah juga membuktikan bahawa terdapat hubungan kebergantungan antara masyarakat dan sungai dalam peningkatan kemajuan teknologi yang seterusnya mencetus peradaban yang lebih eksentrik dari aspek material dan bukan material.

Maka tidak hairanlah Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengangkat pelancongan pesisir sungai di Daerah Perak Tengah sebagai salah satu Flagship di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Usaha itu dibuktikan melalui wajah baharu Dataran Nordin yang terletak di Tanjung Belanja, di mana lokasi berkenaan sebelum ini kelihatan terbiar meskipun berpotensi untuk dimajukan.

Dataran Nordin Tanjung Belanja Port 'healing' tepi sungai
Dataran Nordin Tanjung Belanja kini berwajah baharu sebagai usaha menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi pelancongan pesisir Sungai Perak. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Bagi Khairuddin Mohd Kadri, 62, wajah baharu Dataran Nordin membawa perubahan besar kepada penduduk sekitar Parit memandangkan ia mempunyai nilai sentimental suatu ketika dahulu.

Ujar beliau, kewujudan Jambatan Nordin atau lebih dikenali sebagai Gerotak Nordin suatu ketika dahulu menjadikan kawasan berkenaan unik lebih-lebih lagi ia mengeluarkan bunyi apabila dilalui kenderaan.

“Sebelum adanya Gerotak Nordin Tanjung Belanja dikenali sebagai Belanja Kiri tetapi disebabkan ada perkhidmatan feri membawa penduduk dari seberang ke Parit maka ditukar kepada Tanjung Belanja sebab orang berbelanja.

“Jika kita lihat di Dataran Nordin ini masih ada lagi tiang pengikat Feri dan bagi orang-orang lama seperti saya bila melihat tiang itu, ia benar-benar menggamit kenangan,” katanya kepada MG Perak.

Khairuddin Mohd Kadri. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Khairudin yang juga penduduk Kampung Pasir Gajah berkata, dengan wajah baharu serta terdapat kemudahan asas seperti tandas awam, bakal menjadikan Dataran Nordin sebagai lokasi riadah baharu kepada ibu bapa pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit.

“Jika sebelum ini kita mendengar ibu bapa yang menghantar anak ke MRSM Parit mengeluh tiada lokasi beriadah ketika melawat anak, sekarang pasti mereka tersenyum kerana sudah ada Dataran Nordin yang lebih selesa.

“Sebagai penduduk saya berharap agar ada usaha untuk mewujudkan dewan terbuka dan gerai jualan bagi memudahkan orang yang beriadah atau mahu menganjurkan sebarang program,” katanya.

Wujudkan gerai setiap hujung minggu dan cuti umum

Seorang lagi penduduk, Harimah Hasan, 51, dari Kampung Sadang Tengah berkata, sebelum ini Dataran Nordin kelihatan sunyi serta tidak terurus hingga tiada siapa berani singgah untuk melihat pemandangan Sungai Perak.

“Saya sebenarnya teruja sebab sekarang kawasan ini semakin cantik dan sebagai penduduk kita harus memainkan peranan memeriahkan tempat ini supaya orang luar tahu dataran ini sudah tidak terbiar lagi.

Hasrimah Hasan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selain itu saya juga menjangkakan bahawa Dataran Nordin ini bakal menjadi tumpuan apabila laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ke Taiping dibuka nanti memandangkan ia bakal menjadi laluan mereka yang masuk dan keluar dari Plaza Tol Beruas,” katanya.

Justeru itu, Harimah mencadangkan agar Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) menyediakan gerai atau membenarkan penduduk kampung berniaga di berkenaan bagi memastikan ia sentiasa menerima kunjungan ramai.

“Kalau tak boleh buka setiap hari, sekurang-kurangnya Sabtu, Ahad dan juga cuti umum kerana orang boleh datang berkelah, healing sambil melihat pemandangan Sungai Perak.

“Kepada orang ramai singgahlah ke Dataran Nordin di Tanjung Belanja ini dan nikmatilah keindahan alam sambil boleh memancing juga,” katanya.

Penduduk Parit melakukan aktiviti riadah di Dataran Nordin Tanjung Belanja, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, Dataran Nordin Tanjung Belanja baharu sahaja dinaik taraf melalui hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk MDPT.

Ujar beliau ia bertujuan menjadikan dataran berkenaan sebagai salah sebuah lokasi pelancongan bagi orang ramai sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 serta menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Kita juga sedang merancang untuk membuka penginapan seperti chalet serta juga tapak perkemahan bagi membolehkan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti.

“Tidak mustahil suatu masa nanti Dataran Nordin Tanjung Belanja ini boleh dijadikan sebagai lokasi majlis perkahwinan, perayaan dan pelbagai aktiviti berkait dengan sungai,” katanya.

Penduduk Parit hadir melakukan aktiviti riadah di Dataran Nordin Tanjung Belanja, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Di bawah Perak Sejahtera 2030, pelancongan pesisir sungai berada dalam ‘Flagship 10: Ekonomi Pengalaman’ di mana program yang diilhamkan ini menawarkan ekonomi pengalaman kelas pertama bagi memastikan kelestarian pembangunan negeri.

Projek Pelancongan Pesisir Sungai ini memperkasakan pesisir Sungai Perak sebagai kawasan pelancongan dan rekreasi di daerah Perak Tengah melibatkan 10 kawasan yang dicadangkan.

Antaranya termasuklah Dataran Nordin, Tanjung Belanja; Taman Cempakasari, Parit; Dataran Tuntung, Bota Kanan; Padang Koba, Telok Bakong; Pulau Misa, Lambor Kiri; dan Kompleks Bersejarah, Pasir Salak.

Selain itu juga ia turut melibatkan Pulau Semarak, Kampung Gajah; Litar Dato Sagor, Kampung Gajah; Jambatan Sejagop, Kampung Gajah; dan Kelip-kelip, Jeti Hujung Rintis, Kota Setia. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak Sejahtera 2030: Pekasam Taiping tembusi pasaran luar negara

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI