Dayang Nurfaizah, Hael Husaini akan tampil majlis makan malam amal KBGK

IPOH: Dua penyanyi terkemuka tanah air, Dayang Norfaizah dan Hael Husaini bakal tampil pada majlis makan malam amal anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK), April depan.

Pengerusi majlis, Norali Nordin berkata, acara bersama kedua-dua penyanyi tersebut dijadualkan di Hotel Casuarina @ Meru, pada 21 April 2024.

Beliau yang juga Setiausaha KBGK berkata, majlis itu diadakan bertunjuan mengumpulkan dana kelab bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

“Sejak kebelakangan ini, kelab telah dihujani dengan permintaan, sama ada daripada individu atau badan-badan kebajikan seperti orang kurang upaya, rumah anak yatim dan rumah orang tua yang memerlukan bantuan.

“Sehubungan itu, kelab merasakan sudah tiba masanya kami menganjurkan kembali majlis makan malam amal, seperti yang pernah dianjurkan dahulu,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina @ Meru di sini, pada Rabu.

Hadir sama Presiden KBGK, Hamzah Hamdan dan barisan kepimpinannya.

Norali berkata, untuk majlis makan malam tahun ini, KBGK akan memilih 10 badan kebajikan atau badan bukan kerajaan (NGO) masing-masing lima NGO mewakili masyarakat Melayu, tiga NGO Cina dan dua NGO India sebagai penerima.

Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual akan berangkat sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ke majlis.

“Kami amat mengalu-alukan syarikat korporat, agensi kerajaan negeri serta individu untuk menaja meja bagi menjayakan majlis makan malam ini dan semua tajaan akan dikecualikan daripada cukai,” ujarnya.

Tambah Norali, setiap meja akan dijual pada harga RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 di samping RM300 untuk individu yang ingin membeli satu kerusi.

Menurutnya lagi, pihaknya yakin dapat mengutip sumbangan sekitar RM580,000, seperti yang pernah diperolehi ketika persembahan penyanyi terkenal Yuna pada tahun 2015 dan Datuk Jamal Abdillah pada 2017.

Menurutnya, Dayang Norfaizah dan Hael Husaini masing-masing akan menyanyikan lima buah lagu, di samping sebuah lagu duet. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Pemasyhuran Presiden KBGK

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI