MELAKA – Sepasang suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini kerana disyaki mendera anak angkat lelakinya berusia sembilan tahun dengan pemetik api dan air panas hanya kerana hilangkan pensil warna di sekolah, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek suami pemandu lori dan isteri, suri rumah masing-masing berusia 27 dan 24 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bermula hari ini sehingga 10 November ini.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak.
Kesalahan itu jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu menurut sumber, kejadian terbongkar selepas pengadu iaitu bapa saudara mangsa datang ke rumah adik lelakinya di Batu Berendam pada malam 30 Oktober lalu dan terlihat kecederaan melecur di jari tangan kanan selain kesan parut lama di kaki mangsa kanak-kanak lelaki.
“Semasa berada dalam rumah, isteri pengadu juga dimaklumkan oleh suspek wanita, dia telah menyiram tangan kanan anaknya itu dengan air panas pada 29 Oktober lalu sebagai hukuman kerana menghilangkan pensil warna di sekolah.
“Selain itu, kaki mangsa juga pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suaminya pada Ogos lalu sebelum wanita itu menceritakan kejadian tragis itu itu kepada suaminya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, pengadu sekali lagi datang ke rumah suspek pada 31 Oktober lalu bersama bapanya dan memberi alasan mahu membawa mangsa keluar bersiar-siar dan dibenarkan suspek dengan syarat perlu menghantar mangsa pulang segera.
“Petang keesokan harinya, semasa pengadu dan isteri berada di rumah ayahnya, mangsa telah menceritakan kejadian dia kerap dipukul oleh kedua-dua ibu bapa angkatnya itu.
“Mangsa mendakwa, jari tangan kanannya juga telah direndam di dalam air panas pada 29 Oktober lalu sehingga melecur kerana menghilangkan pensil warna di sekolah.
“Kanak-kanak itu turut menunjukkan kesan parut terbakar di kaki akibat dicucuh dengan pemetik api pada Ogos lalu,” katanya.
Tambahya, pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan adik dan adik iparnya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam 2 November lalu.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan kedua-dua suspek tengah hari semalam. – MalaysiaGazette


