BAGAN SERAI – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung seorang lelaki yang ditemukan maut di Kampung Selamat, Semanggol di sini dipercayai akibat ditembak awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat panggilan berhubung penemuan mayat mangsa berusia 43 tahun itu daripada orang awam sekitar jam 3.55 pagi.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa disyaki akibat terkena tembakan.
“Pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Semanggol telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan bedah siasat akan dijalankan pada 1 Oktober (Rabu) di Hospital Taiping,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah menahan dua lelaki masing-masing berumur 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat, Semanggol, bagi membantu siasatan.
“Salah seorang daripada suspek tersebut mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.
“Hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek telah tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan semasa memburu di Batu Caves, Selangor pada Ahad lalu kira-kira jam 8 malam bersama-sama dua orang lelaki lain.
“Selepas kejadian itu, mereka sepakat untuk membawa mangsa ke Semanggol dengan sebuah kenderaan dan diiringi dua buah kenderaan lain.
“Mangsa telah ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap bagi mencipta jalan cerita yang lain daripada kejadian sebenar,” ujarnya.
Beliau berkata, susulan itu kira-kira jam 8.30 malam tadi, BSJ IPD Kerian dengan bantuan BSJ IPD Gombak berjaya menahan seorang lagi suspek berumur 36 tahun di Batu Caves, Selangor yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Mazda BT50, Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 Bore dan empat telefon bimbit.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, sila hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kerian, Asisten Superintenden Ambri Mat Nayan, di talian 012-5306567 atau menghubungi IPD Kerian di talian 05-7215222,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki warga Myanmar disyaki bunuh kekasih direman lima hari