Ditipu dua kali, pakar perubatan rugi lebih setengah juta

IPOH – Seorang pakar perubatan kerugian RM529,200 selepas ditipu dua kali, masing-masing membabitkan penipuan skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud, dan sindiket yang menyamar sebagai badan penyelesaian masalah penipuan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada seorang lelaki berusia 67 tahun pada Jumaat.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mula terjerat dengan penipuan skim pelaburan mata wang kripto itu selepas menerima satu pautan pelaburan daripada seorang kenalan di aplikasi TikTok pada penghujung September tahun lalu.

“Akibat terpedaya dengan penerangan suspek, mangsa telah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM320,000 ke dalam pelbagai akaun bank berdaftar atas nama sebuah syarikat.

“Walau bagaimanapun, mangsa kemudian gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Noor Hisam, lelaki itu kemudian menemukan sebuah entiti yang dikenali sebagai ‘International Justice Malaysia (IJM) di laman sosial Facebook yang mendakwa boleh membantu menyelesaikan masalah berkaitan kes penipuan.

Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai peguam dan meminta mangsa melakukan pelbagai bayaran tambahan.

“Akibat daripada urusan tersebut, mangsa sekali lagi mengalami kerugian berjumlah RM209,200. Dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa RM529,200.

“Mangsa mula berasa ragu-ragu dan hilang kepercayaan terhadap kesahihan urusan tersebut serta membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, susulan itu pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Noor Hisam juga mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya terhadap tawaran pelaburan atau penyelesaian kerugian melalui media sosial.

“Polis menasihatkan agar masyarakat tidak membuat bayaran pendahuluan kepada pihak yang tidak dikenal pasti.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau melalui talian National Scam Response Centre 997,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jurubahasa rugi lebih setengah juta ditipu sindiket kripto di Instagram

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI