IPOH – Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) yang diperkenalkan kerajaan negeri melalui agensi kebudayaan dan seni negeri People Of Remarkable Talents (PORT) sebagai inisiatif menyokong penggiat seni dan usahawan kreatif di Perak.
Diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu, skim bantuan seni itu mengutamakan pengkarya serta usahawan dalam industri kreatif yang berasal dari Perak atau telah menetap di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, DKP adalah bukti usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan industri kreatif negeri untuk terus berkembang.

Beliau berkata, pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembangunan modal insan termasuk dalam kalangan penggiat seni.
“Dalam usaha kita bangunkan negeri ini, ia bukan sekadar kita hendak lihat kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya, kita juga mahu melihat kepada pembangunan modal insan.
“Dan dalam soal pembangunan modal insan ini ia mempunyai pelbagai kategori, ada yang jadi jurutera, doktor, dan guru.
“Akan tetapi jangan lupa ada kelompok orang seni yang mempunyai bakat terpendam dan menyumbang kepada pembangunan negeri dalam bentuk kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan DKP kepada 10 penerima di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PORT, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak merangkap Ahli Lembaga PORT, Mohamad Hamidi Baharuddin serta Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Dalam pada itu, penerima DKP, M Logenthiran, 30, berkata, bantuan yang diterima membolehkannya merealisasikan projek filem pendek berjudul ‘Anomali’ yang mengangkat elemen fantasi dan komedi gelap.
Katanya, karya itu mengisahkan seorang lelaki berusia 20-an yang mengalami fenomena luar biasa apabila hujan hanya berlaku di sekeliling dirinya walaupun kawasan lain berada dalam cuaca panas.
Menurutnya, dana yang diterima melalui DKP sebanyak RM6,000 itu amat penting terutama bagi menampung kos perjalanan proses produksi khususnya yang membabitkan kesan visual (VFX).

“Untuk filem pendek ini, kos VFX sahaja mencecah lebih RM3,000 kerana ia melibatkan proses ‘shot by shot’. Oleh itu, dana ini membantu saya merealisasikan idea yang sebelum ini sukar dilaksanakan.
“Pada masa sama, saya jug merancang untuk mengadakan penggambaran di beberapa lokasi di Perak termasuk di Taiping sebagai ‘tribute’ (penghargaan) kepada bandar itu yang terkenal sebagai Bandar Hujan” katanya.

Sementara itu, Nur Hanim berkata, bagi edisi 2025/2026, permohonan DKP dilaksanakan melalui sistem pangkalan data seni kreatif Perak yang diperkenalkan tahun lalu.
Menurut beliau, sistem itu memudahkan proses permohonan selain menyelaras data penggiat seni secara lebih sistematik dan berpusat.
“Melalui sistem ini, DKP menerima sebanyak 221 permohonan dan selepas melalui proses penilaian menyeluruh, sebanyak 123 kertas kerja diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM393,000.
“Peruntukan ini meliputi tiga kategori utama iaitu seni visual sebanyak RM196,000, seni muzik RM138,000 dan seni persembahan RM59,000,” katanya.
Beliau berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk rakaman album, pameran seni visual, bengkel seni, produksi filem pendek, dokumentari serta penerbitan komik yang melibatkan pelbagai daerah di Perak seperti Kuala Kangsar, Taiping dan Teluk Intan.

DKP lahirkan karya kreatif, angkat nama Perak
Tambah Nur Hanim, pelaksanaan DKP juga telah menunjukkan impak positif termasuk melahirkan karya berkualiti serta mengangkat nama Perak di peringkat nasional mahupun di pentas antarabangsa.
Kata beliau, antara kejayaan pada tahun lalu termasuk pencapaian kumpulan vokal ‘deVokalis’ dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meraih pelbagai anugerah dalam sebuah acara di Medan Indonesia serta, penganjuran Raintown Film Festival di Taiping yang berjaya menarik ribuan pengunjung.
“DKP bukan sahaja menyokong penggiat seni menghasilkan karya, tetapi turut memperkukuh jaringan komuniti kreatif dan mempromosikan Perak sebagai destinasi seni dan budaya.
“Kita berharap dana ini terus menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk berkarya dan membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.
Pelaksanaan DKP juga dilihat menyokong pelaksanaan flagship kesepuluh dalam Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman cetusan ilham Menteri Besar Perak di bawah segmen Semarak Warisan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak belanja RM1.82 juta perkasa industri kreatif


