IPOH – Lima laporan polis diterima susulan penyebaran surat layang gangguan seksual membabitkan seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan polis itu dibuat lima doktor yang ditohmah melakukan perbuatan berkenaan di dalam surat layang tersebut.
“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan daripada doktor pelatih yang mendakwa menjadi mangsa atau pihak berkaitan.
“Sehubungan itu, orang ramai atau sesiapa yang terlibat dalam kes berkenaan untuk tampil ke balai polis berdekatan memberi kenyataan dan kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersil – Phone Scam anjuran Polis Perak dan Pos Malaysia Berhad di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada Selasa.
Sebelum ini, MG Perak melaporkan tular di media sosial surat layang dituju kepada Pengarah HRPB, Datuk Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid yang mendakwa seorang doktor dari sebuah jabatan di hospital tersebut melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih (houseman) dan kakitangan sokongan wanita.
Kandungan surat itu turut meluahkan rasa kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap doktor terbabit walaupun aduan telah dibuat.
Berikutan itu, sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat surat layang yang mendakwa seorang doktor di HRPB di sini melakukan gangguan seksual dan ugutan ke atas kakitangan hospital berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada 29 Februari lalu sehari selepas HRPB menerima surat layang itu melalui pos. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isu surat layang HRPB: Doktor didakwa terlibat buat laporan polis
Doktor laku gangguan seksual: JKN Perak tubuh Jawatankuasa Penyiasatan Bebas