Dorong peningkatan keputusan SPM, TCS diteruskan – Saarani

TELUK INTAN – Kerajaan Negeri Perak akan meneruskan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TSC) dalam hasrat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di dalam peperiksaan awam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana TCS berjaya menjadi antara penyumbang kepada kejayaan dalam peningkatan pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2021 sehingga tahun ini.

“TCS ini kita mulakan pada tahun 2021 di mana selepas berlakunya pandemik Covid-19 waktu peperiksaan SPM 2020 ditangguhkan kepada Mac jadi pelajar masuk sekolah silibs belum selesai.

“Cikgu-cikgu terpaksa buat kelas tambahan tetapi kehadiran tidak ramai kerana tiada makanan disediakan, maka kerajaan negeri ambil langkah sediakan makanan RM5 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan G, H dan I Central Medicare Sdn. Bhd. Changkat Jong di sini, pada Isnin.

Tambah Saarani, TCS menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran calon peperiksaan awam selepas dilancarkan meskipun kehadiran tidak mencapai 100 peratus.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan G, H dan I Central Medicare Sdn Bhd di Changkat Jong, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MEI 2024.

“Ini menunjukkan pelajar-pelajar ini menghargai pemberian kerajaan negeri dan sekali gus guru-guru dapat menghabiskan silibus pelajaran mereka.

“Selain itu, kita dimaklumkan TCS merupakan salah satu daripada penyumbang yang melonjakkan keputusan peperiksaan jadi kita sambung 2021 sehingga 2024,” katanya.

MG Perak melaporkan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata program TCS telah memberi impak dalam peningkatan pencapaian calon SPM tahun 2023 di Perak.

Katanya, peruntukan yang disalurkan melalui intensif TCS itu juga telah merapatkan jurang pencapaian calon SPM antara bandar dan luar bandar yang merekodkan 0.01 mata.

“TCS memberi peruntukan sebanyak RM2.67 juta dan alhamdulillah kita dapat meningkatkan prestasi calon serta jurang pencapaian calon antara luar bandar dan bandar yang kita lihat sangat baik.

“Melalui peruntukan TCS murid-murid ini diberikan bantuan makanan tengah hari percuma selama 20 hari terakhir”, katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

TCS bantu lonjak prestasi cemerlang SPM 2023

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI