IPOH – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Senior Asisten Komisioner Lee King Chuan bertukar ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai Pengarah Bahagian Siasatan dan Pendakwaan.
Posisi beliau diambil alih Asisten Komisioner Mohd Husni Manaf yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan KJSJN Perak sejak tahun 2020.
Turut bertukar ialah Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang diamanahkan jawatan yang baru sebagai Timbalan Komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan digantikan dengan Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah yang sebelumnya memegang jawatan sama di PULAPOL.
Asisten Komisioner Chua Kok Lian mengambil alih jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak daripada Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin yang bersara wajib pada 15 Mac selepas berkhidmat selama 39 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berharap supaya mereka terus mengukuhkan jalinan silaturrahim walau terpisah kerana pertukaran dan persaraan.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Dr Bakri di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan dalam bidang kepolisian ini.
“Sesungguhnya pada hari ini kita turut meraikan salah seorang wira pasukan yang akan melambaikan perpisahan dan meninggalkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang amat dicintainya.
“Dr Bakri akan menamatkan tugas rasmi sebagai seorang kakitangan kerajaan pada jam 5 petang hari ini dan bakal menjalani persaraan wajib pada 15 Mac setelah mencapai usia 60 tahun.

“Selamat bersara dan selamat menempuh fasa baharu dalam kehidupan. Semoga masa yang akan datang dipenuhi dengan kebahagiaan, ketenangan serta peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua JSJN Perak dan Ketua Polis Daerah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Hilir Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Jumaat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hanya 10 peratus daripada 9,000 polis Perak dibenar bercuti Aidilfitri


