IPOH – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan, dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
UPSI dalam satu kenyataan berkata, Dr Nasreen Khanum dilantik sebagai Profesor Adjung bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2024 sehingga 30 Disember 2026.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, perlantikan itu berasaskan pengalaman luas dan kemahiran yang dimiliki Dr Nasreen Khanum dalam pentadbiran kerajaan.
“Dengan pelantikan Dr Nasreen Khanum itu akan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi pengalaman luasnya bersama UPSI menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).
“Saya berharap beliau akan memanfaatkan segala pengalaman untuk membantu menjulang nama UPSI di arena antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan itu juga dibuat sebagai langkah merealisasikan integrasi antara akademik dengan profesional yang diiktiraf sebagai pakar dan berperanan dalam pembangunan akademik FPE khasnya dan UPSI umumnya.
“Dr Nasreen Khanum akan memberi perkongsian pengalaman dan idea-idea baharu kalangan akademia dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Beliau juga berperanan memperkasakan hubungan kerjasama dengan pihak industri serta institusi-institusi di luar UPSI,” katanya.
Dr Nasreen Khanum mula berkhidmat di Yayasan Perak pada November 2023 di mana sebelum itu beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah, Kerian.
Antara jawatan penting yang pernah disandangnya termasuklah sebagai Ketua Akademik dan Perunding Kanan Latihan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Penolong Timbalan Presiden, Projek Impak Strategik, Agensi Inovasi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). -MG Perak
Artikel Berkaitan: