SELEPAS 20 tahun berbakti sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dalam dan luar negara, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan memilih untuk pulang berbakti di negeri kelahiran beliau tiga tahun lalu.
Anak kelahiran Perak berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Kepimpinan itu kini memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Yayasan Perak selepas dilantik pada 15 November 2023.
Pelbagai usaha dilakukan beliau selepas mengambil alih Yayasan Perak termasuklah menjenamakan semula ia sebagai Agensi Peneraju Pembangunan Modal Insan Unggul Negeri Perak, melalui Pemerkasaan Pendidikan dan Pengupayaan Sosial.
Editor Malaysia Gazette (MG) Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said berpeluang menemubual Dr Nasreen yang berkongsi perjalanan beliau menguruskan Yayasan Perak bagi memastikan ia kekal relevan dalam memartabatkan pendidikan di Perak.
Serba sedikit mengenai diri Dr Nasreen Khanum
Saya merupakan anak kelahiran Perak di mana kedua ibubapa saya juga merupakan anak jati negeri ini. Dari segi pelajaran saya berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Kepimpinan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pengurusan Strategik.
Saya juga merupakan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik dan telah bertugas dalam perkhidmatan awam selama 20 tahun dan untuk makluman, saya baru sahaja kembali bertugas di Perak sejak tiga tahun lalu.
Sebelum ini saya bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pernah ditugaskan ke Washington DC sebagai ‘Economic Counsellor’. Kemudian, saya dipinjamkan ke Agensi Inovasi Malaysia sebagai Timbalan Presiden Eksekutif yang bertanggungjawab memformulasi National Biomass Strategy bagi membentuk hala tuju bagi membangunkan industri biomass bernilai tinggi untuk Negara.
Selain itu, saya pernah berada di Bahagian Kerjasama Asia Pacific dan juga Bahagian Import dan Eksport.
Saya juga merupakan Ketua Unit Akademik di Insititut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang bertanggungjawab melatih kadet-kadet PTD muda. Saya telah melatih kira-kira 1000 pegawai PTD muda sebelum mereka masuk ke perkhidmatan awam sebagai penjawat awam yang hebat.
Dari segi professional, saya merupakan coach yang terlatih dalam bidang Pembangunan Kepimpinan dan Pengurusan Strategik. Dan baru dilantik sebagai Adjung Profesor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Boleh Dr. Nasreen jelaskan secara ringkas mengenai Yayasan Perak?
Yayasan Perak ditubuhkan pada 1979 dengan tujuan yang sangat jelas iaitu untuk menyokong agenda pembangunan negeri melalui pemerkasaaan rakyat menerusi bidang pendidikan, sukan, pembangunan sosial, dan kebajikan rakyat.
Sepanjang hampir 50 tahun penubuhan, Yayasan Perak sangat komited dalam memainkan peranannya yang sangat signifikan.
Adalah menjadi tanggungjawab Yayasan Perak sebagai sebuah GLC Negeri untuk memastikan semua golongan terutamanya golongan B40 ini mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Kami banyak melaksanakan pelbagai program-program bantuan pendidikan, peningkatan akses dan kualiti pendidikan, tabung usahawan bagi memperkasakan ekonomi dan lain-lain lagi.
Fokus utama Yayasan Perak memang sangat jelas iaitu untuk memastikan tiada rakyat Perak yang tercicir daripada peluang pendidikan dan pembangunan ekonomi.
Sejak saya mengambil alih Yayasan Perak, saya telah menjenamakan semula ia sebagai Agensi Peneraju Pembangunan Modal Insan Unggul Negeri Perak, melalui Pemerkasaan Pendidikan dan Pengupayaan Sosial.
Penjenamaan semula ini tidak mengubah peranan Yayasan Perak sejak dari penubuhannya namun memberi penekanan dan peletakkan yang lebih jelas tentang peranan dan fungsi Yayasan Perak dalam Pentadbiran Negeri.
Peranan Yayasan Perak bukan tertumpu kepada pembelajaran dan pengajaran di sekolah tapi lebih kepada pemerkasaan Pendidikan di mana kita menyediakan sistem sokongan untuk melonjakkan lagi potensi pendidikan di Perak.
Namun, selain daripada pendidikan, kami juga memberi perhatian serius kepada pembangunan modal insan dan pengupayaan sosial.
Penglibatan Yayasan Perak dalam Pelan Perak Sejahtera 2030
Dalam Perak Sejahtera 2030, Pendidikan digariskan di bawah flagship keenam iaitu Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Bagi memperkemaskan gerak kerja Perak Sejahtera 2030, Yayasan Perak telah membangunkan Pelan Pendidikan Sejahtera 2030 yang akan menjadi pelengkap dalam memperkasakan lagi usaha-usaha Pemerkasaan Pendidikan di Perak.
Selain itu, Yayasan Perak juga menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan cara sangat strategik dan tersendiri. Bagi mencapai sasaran yang digariskan dalam faktor kemanusian atau kompetensi pegawai-pegawai adalah satu elemen terpenting dalam menggerakkan inisiatif-inisiatif kearah mencapai matlamat tersebut.
Yayasan Perak telah memformulasikan satu program Pembangunan kompetensi berimpak tinggi yang dinamakan Executive Development Program (EDP). Program ini mengenalpasti 10 kompetensi utama yang perlu dibangunkan dalam Pembangunan Kepimpinan penjawat awam dan swasta di negeri ini.
Banyak lagi program-program yang kami laksanakan dengan pelbagai pemegang taruh bagi mendokong Pembangunan Negeri.
Sesebuah Negeri tidak akan stabil sekirakan terdapat jurang sosial and ekonomi yang besar di antara golongan atasan dan bawahan. Pembangunan terutama akses kepada Pendidikan adalah keperluan dan hak setiap rakyat.
Semua ini bertujuan memastikan rakyat Perak menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan menjelang 2030
Perancangan Dr memastikan Yayasan Perak terus relevan dan memberi manfaat
Proses transformasi ini baru bermula tahun lepas, jadi perjalanan transformasi Yayasan Perak jadi satu agensi kerajaan yang berprestasi tinggi perjalanannya masih jauh
Tahun ini kita menekankan kepada pemantapan operasi dan tatakelola yang berterusan jadi ia bukan sahaja peringkat Yayasan Perak tetapi juga peringkat anak syarikat
Kita mahu kumpulan Yayasan Perak menjadi satu kumpulan yang cekap dan efisyen. Jadi proses pemantapan organisasi tatakelola itu masih berterusan dari tahun lepas hingga tahun ini dan memberi penekanan kepada penstrukturan semula dan pembangunan kompetensi.
Saya melihat bahawa pegawai-pegawai yang cekap adalah aset kepada syarikat. Kita kena bangun pegawai-pegawai itu dahulu untuk kita mencapai penstrukturan organisasi yang baik.
Perjalanan saya di Yayasan Perak ini baharu, baru bermula dan transformasi masih diteruskan tahun ini dan kita harap hujung tahun ini kita akan nampak impak besar yang telah kita usahakan selama ini.
Satu hasrat yang kita simpan dan InsyaAllah kita akan capai impian tersebut adalah ingin meletakkan diri kita sebagai akademi penyedia latihan unggul di Perak.
Itu antara perancangan kita susun bukan sekadar penyedia latihan pembangunan modal insan di Perak tapi menjangkakan peranan kita itu akan turut merangkumi negeri-negeri lain yang melihat program berkualiti.
Artikel Berkaitan: