Dr Yusri angkat sumpah ADUN Ayer Kuning

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Majlis angkat sumpah tersebut menyaksikan Mohamad Yusri secara rasmi memulakan tugas sebagai ADUN selepas memenangi kerusi tersebut Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April lalu.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah mengangkat sumpah sebagai ADUN bagi kawasan Ayer Kuning di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak.

“Ini bukan sekadar satu amanah, tetapi satu tanggungjawab besar yang akan saya galas dengan penuh iltizam dan semangat.

“Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga Ayer Kuning yang telah memberi kepercayaan dan mandat ini.

“Saya berazam untuk terus bekerja keras, mendengar suara rakyat, serta membawa aspirasi dan keperluan masyarakat ke peringkat tertinggi.

“Semoga dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membina Ayer Kuning yang lebih sejahtera, maju dan inklusif. Mari kita terus melangkah bersama. Demi Ayer Kuning yang kita cintai,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, Barisan Nasional (BN) berjaya membuktikan kerusi DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila Mohamad Yusri menang dalam PRK tersebut.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi.

Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya memperoleh 11,065 undi.

Pencabarnya, Abd Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) memperolehi 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, yang bertanding kali kedua di kerusi sama meraih 1,106 undi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DUN Ayer Kuning Kekal Milik BN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI