IPOH – Draf kertas Dasar Perumahan Negeri Perak baharu yang akan dikenali sebagai ‘Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0’ sedang di peringkat akhir untuk disiapkan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, dasar baharu negeri berkenaan akan bersifat inklusif di samping menyentuh segala aspek dalam sektor perumahan.
Katanya, pelbagai siri perbincangan dan bengkel melibatkan pemegang taruh telah diadakan sebelum ini untuk bagi menambah baik dasar sedia tersebut.
“Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 akan dilancarkan pada tahun in dan antara fokusnya adalah kita mahu menggalakkan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina di Perak.
“Pada masa sama, kita juga mahu mewujudkan satu ekosistem yang menyokong ke arah usaha itu. Kita tidak mahu dasar baharu sudah dirangka, tetapi pelaksanaaNnya sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Kasih Madani Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila.
Tambah Sandrea, Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 yang akan diperkenalkan nanti seiring dengan kehendak semasa termasuk menyentuh persediaan menuju negeri menua.
Ujar beliau, Perak komited dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat terutama golongan B40 serta mereka yang memerlukan.
“Dasar ini diperkenalkan pada tahun 2019, jadi mungkin ada beberapa perkara yang digariskan tidak menyentuh dasar-dasar terkini.
“Oleh itu kita mahu ia menyeluruh, misalnya skim perumahan lebih daripada lapan hektar, kita mewajibkan agar dibangunkan komponen Rumah Perakku,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kajian Dasar Perumahan Negeri Perak perlu lihat pelbagai aspek