TAPAH – Dua beradik lelaki ditahan polis selepas disyaki memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Belakang Pasar Bidor, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Johari Yahya berkata, kedua-dua warga tempatan berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima panggilan telefon daripada penduduk mengenai bunyi letupan pada jam 9.20 malam.
Menurut beliau, bertindak daripada maklumat berkenaan sepasukan anggota daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan yang dijalankan di sebuah rumah lot dua tingkat menjumpai sepucuk pistol Revolver 38 Smith & Wesson dan empat butir peluru hidup serta sebutir kelongsong di dalam chamber di bawah tilam.
“Selain itu, terdapat juga kesan serpihan selak peluru di ruang tamu bahagian atas dan bawah dalam rumah tersebut akibat tembakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Johari berkata, tangkapan telah dilakukan ke atas dua beradik yang berada di dalam rumah tersebut bagi membantu siasatan dan hasil semakan mendapati kedua-duanya mempunyai enam rekod kesalahan jenayah dan empat rekod kesalahan narkotik.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah dan dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Ogos.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing juga mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamin,” katanya.
Tambah Johari, kes disiasat di bawah eksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. -MG Perak