IPOH – Dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas di sebuah kolam tadahan air sebuah kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 8.33 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua adik beradik berusia lapan dan sembilan tahun itu dipercayai keluar bermain berhampiran rumah sewa mereka sebelum ditemui orang awam di dalam kolam berkenaan.
“Mangsa segera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari yang sama.
“Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan.
“Sehubungan itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian terhadap kanak-kanak,” ujarnya.
Sementara itu, Abang Zainal Abidin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan anak-anak, khususnya apabila berada berhampiran kawasan berisiko seperti sungai, kolam, lombong atau tapak pembinaan.
Tambahnya, pihak pemaju atau kontraktor diingatkan untuk mematuhi peraturan keselamatan termasuk pemasangan pagar serta papan tanda amaran bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P Munesuwari di talian 016-5921325 atau hadir ke balai polis berhampiran,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: