LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang 15 batu nautika dari pantai dekat Pulau Buluh, di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kedua-dua bot yang menggunakan pukat tunda itu ditahan sekitar jam 2 petang dan 3.25 petang.
Menurutnya, ia ditahan pada kedudukan 12 dan 13 batu nautika barat Pulau Buluh ketika kapal Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan kesalahan kerana tidak memiliki kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menangkap ikan dalam kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai seperti ditetapkan dalam lesen bot kelas C.
“Pemeriksaan pada bot ertama menemui seorang tekong dan tiga kru warga Thailand termasuk seorang warga Kemboja, manakala sebuah lagi bot dikemudi tekong dan dua kru, warga Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua kru bersama bot, peralatan menangkap ikan, serta hasil laut yang dianggarkan berjumlah RM1,400 telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: