LUMUT – Dua bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak disyaki melanggar undang-undang di perairan di negeri ini, dekat sini, pada Sabtu.
Bot nelayan masing-masing kelas C dan B1 itu ditahan pada jam 12 dan 1.58 tengah hari pada kedudukan 22 batu nautika selatan Pulau Jarak serta 9.4 batu nautika barat laut Tanjung Hantu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pasukan operasi KM Malawali dan bot peronda mengesan kedua-dua bot berkenaan melakukan aktiviti perikanan melalui Op Sayong, Op Pintas, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu mendapati ia dikendalikan dua tekong dan empat kru yang kesemua warga Myanmar dan Thailand serta berusia antara 22 hingga 58 tahun.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, tekong dan kru warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Tekong bagi kedua-dua bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui, serta Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran yang sah.
Mohamad Shukri memberitahu, kesemua nelayan, ditahan sementara bot, 170 kilogram hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan dirampas untuk siasatan lanjut Maritim.
“Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: