Dua ‘budak’ along baling ‘molotov cocktail’ didakwa di mahkamah

IPOH – Dua lelaki yang terlibat kegiatan along dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat, atas lima pertuduhan melakukan khianat dengan api menggunakan ‘molotov cocktail’ di sekitar Ipoh dan Kampar, bulan lalu.

Tertuduh, Kok Wan Liang, 37, yang bekerja sebagai penghantar makanan mengaku bersalah sementara rakannya, Lin Jia He, 25, minta untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama-sama dituduh membaling botol kaca mengandungi petrol ke dalam kawasan rumah dengan maksud hendak menyebabkan kemusnahan di dua kediaman berbeza.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Bandar Baru dalam Daerah Kampar dan Kampung Baru Kuala Kuang di Kinta antara jam 2.50 pagi hingga 4.30 pagi pada 10 April 2025.

Sementara Jia He yang juga warga Taiwan dituduh melakukan kesalahan sama di Panorama Lapangan Perdana di Kinta pada jam 12.58 tengah hari, pada 25 Mac 2025.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda.

Hakim membenarkan jaminan wang RM5,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap seorang tertuduh dengan syarat penjamin harus warga Malaysia.

Sementara itu di kamar berasingan, kedua-dua tertuduh juga berhadapan tiga pertuduhan melakukan khianat dengan maksud yang sama terhadap dua kediaman serta menyebabkan kecederaan kepada seekor anjing peliharaan mangsa jenis Rottweiler.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di Panorama Lapangan Perdana, di Kinta dan Taman Bandar Baru, Kampar antara jam 3 petang hingga 12.30 pagi pada 2 April hingga 8 April 2025.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Hakim Azizah Ahmad tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Wan Liang yang mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang juga dibacakan dalam bahasa Mandrin.

Di samping itu Azizah turut membenarkan wang jaminan RM5,000 terhadap Jia He bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh memohon untuk dibicarakan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Jia He yang diwakili Peguam R R Segaran manakala Wan Liang tidak diwakili peguam, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Vitthiyeswary dan NM Moganaraj Mithra.

Mahkamah menetapkan 23 Julai ini untuk tarikh sebutan bagi fakta kes dan hukuman terhadap Wan Liang dan tarikh sama juga untuk serahan dokumen bagi Jia He.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima lima laporan berhubung kejadian melemparkan bom petrol di sebuah rumah di Kampung Rapat dibuat seorang wanita berusia 62 tahun antara 26 Mac hingga 4 April lalu.

Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, mangsa memberitahu pernah menerima ugutan melalui nota yang ditinggalkan di hadapan pagar rumah.

Nota itu meminta mangsa membayar hutang dan bom petrol juga dibaling ke dalam kawasan rumahnya sebanyak lima kali hingga menyebabkan kebakaran pada pagar rumah, kawasan tempat letak kereta, pintu hadapan dan dinding. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis kesan individu baling molotov cocktail lima kali

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI