IPOH – Dua lelaki ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun dan bunga api di dua lokasi berbeza di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam operasi pemeriksaan mercun dan bunga api melibatkan enam pegawai serta 29 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Menurutnya, sebanyak 126 premis yang telah diluluskan permit untuk menjual mercun dan bunga api telah diperiksa dalam operasi yang bermula dari jam 12 tengah hari dan berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi.
“Operasi ini dijalankan hasil intipan anggota selama seminggu selepas kita menerima rungutan daripada orang awam berhubung penjualan mercun dan bunga api secara meluas.

“Daripada 126 premis yang diperiksa, kita dapati empat daripadanya telah gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam penjualan mercun dan bunga api.
“Kita turut merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM10,000 di dua daripada empat premis terbabit.
“Rampasan ini dibuat di gudang iaitu lokasi mercun dan bunga api disorok dan atas permintaan pelanggan barulah penjual akan mendapatkan stok untuk dijual kepada pelanggan secara tersembunyi.
“Bagi dua premis lagi, kita sedang melakukan pemeriksaan balas untuk mengesahkan sama ada mercun dan bunga api yang telah dijual telah mendapat kelulusan permit,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jelapang di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tambahnya, sebanyak 200 permohonan permit penjualan mercun dan bunga api di sekitar Ipoh telah diterima namun 126 permit sahaja yang diluluskan manakala selebihnya ditolak kerana tidak memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: