GERIK – Dua lelaki diberkas polis kerana disyaki melakukan kesalahan curi kabel milik syarikat Telekom Malaysia (TM) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 19 dan 23 tahun ditahan di dua lokasi berasingan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bersia yang menjalankan ronda cegah jenayah (RCJ).
Menurutnya, tangkapan pertama dibuat pada jam 12.45 tengah malam tadi selepas pihak polis melihat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila tiba di Kilometer 2.2 JRTB Gerik – Jeli, kita telah menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan lanjut dan menemui pemandu, seorang lelaki berusia 23 tahun bersama gumpalan kabel tembaga yang telah dibakar serta beberapa peralatan memotong kabel.
“Selepas itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Bandariang di sini sekitar jam 2 pagi kerana dipercayai turut terlibat dengan suspek pertama,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan selama empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Sekysen 431A Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis lepas tembakan, tahan dua lelaki disyaki curi kabel TM