MANJUNG – Dua mayat lelaki ditemukan di dua lokasi berasingan di Ayer Tawar, dekat sini, pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, kedua-dua mereka ysebelum itu dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing sejak petang Selasa dan 27 Jun lalu.
Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan mayat pertama berusia 50 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Taman Sri Perak 2, Ayer Tawar sekitar jam 9.39 pagi.
“Manakala hasil maklumat awam juga, mangsa kedua berusia 55 tahun, telah ditemukan dalam keadaan reput di sebuah rumah kosong di Taman Biru, Ayer Tawar kira-kira pada jam 8.30 pagi.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Hasbullah berkata, mayat dua lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung bagi dijalankan proses bedah siasat.
Ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Ayer Tawar di talian 05-6722222.
“Orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 dan hotline WhatsApp 017-6828005,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: