Dua MRSM laksana projek perintis warden bekas pegawai tentera, polis mulai Ogos

BUKIT GANTANG – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan projek perintis lantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis di dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula Ogos ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua MRSM terlibat ialah MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.

Menurutnya, pelantikan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kawalan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik.

“Kita telah mengadakan beberapa siri temuduga serta dalam proses senarai pendek calon dan InsyaAllah akan bermula Ogos ini

“Jumlah warden yang akan ditempatkan untuk fasa awal projek ini tidak melebihi 10 orang melibatkan lelaki dan wanita.

“Kita tak boleh laksanakan secara mendadak dan perlu mendengar semua pandangan. Sebab itu kita namakan projek perintis selama enam bulan, kalau berjaya kita akan laksanakan di semua MRSM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa warden-warden yang dilantik telah diberikan prosedur operasi standard (SOP) serta akan menjalani latihan secara berterusan.

“Mereka sudah pun diberikan SOP dan kita akan memberi latihan berterusan dari  kerana peranan warden ini amat penting.

“Ini kerana kita tidak mahu ada salah faham sebab, bila kita ambil warden dalam kalangan bekas polis dan bekas tentera maknanya kita akan mengambil bentuk kekerasan dalam kita mendisiplinkan anak-anak pelajar di MRSM, tidak.

“Tetapi kita nak supaya warden-warden ini bertindak sepenuh masa, tidak seperti sekarang yang sedikit sebanyak mengganggu tugas hakiki guru-guru.

“Keupayaan mereka (guru-guru) untuk sentiasa memantau perkembangan sahsiah dan juga disiplin pelajar-pelajar di luar waktu persekolahan atau waktu kelas akademik, mereka tidak akan mampu melakukannya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan inisiatif ini akan memfokuskan kepada pengawasan menyeluruh terhadap pelajar di asrama serta memberi jaminan keselamatan kepada ibu bapa.

“Sebab itulah inisiatif ini kita mulakan supaya dengan SOP dan juga asas yang kita tekankan, supaya anak-anak kita dapat mendapat pengawasan dan juga penelitian dari segi perkembangan mereka di asrama dengan selamat.

“Jadi kita nak memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa kita tidak ada kompromi sebarang betul buli, bukan saja buli fizikal tetapi juga buli mental,” tegasnya.

Sebelum ini Asyraf dilaporkan berkata, MARA akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.

Ujarnya, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan secara projek rintis membabitkan beberapa MRSM terpilih bagi menilai keberkesanan pendekatan berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tahniah MAWO MRSM Ulul Albab Felda Trolak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI