Dua nelayan Myanmar bersama bubu naga bernilai RM13,000 ditahan

PARIT BUNTAR – Dua nelayan warga Myanmar dan seorang tekong warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Kurau, dekat sini, pada Khamis.

Mereka yang berada di atas sebuah bot gentian kaca bersama 180 unit bubu naga itu ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Pulau Terong, tengahari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, tiga individu itu ditahan semasa pihaknya sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Katanya, ketika rondaan, pihaknya berjaya mengesan bot berkenaan yang sedang melakukan aktiviti perikanan dengan disyaki menggunakan bubu naga.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga orang nelayan termasuk tekong berumur antara 28 hingga 48 tahun berada di bot terbabit.

“Tekong bot terbabit merupakan nelayan tempatan manakala selebihnya adalah nelayan warga Myanmar dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit memiliki lesen namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Malah katanya, enjin bot yang digunakan tidak sama seperti yang didaftarkan dan sejumlah 180 unit bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM13,000 turut ditemukan semasa pemeriksaan.

“Kesemua nelayan, bot dan bubu naga ditahan serta diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu mengendalikan peralatan menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) akta yang sama kerana memiliki alat perikanan yang tidak diwartakan,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiga nelayan warga Indonesia ditahan langgar syarat lesen sah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI