SUNGAI SIPUT – Polis sedang menjejaki pemandu dan pemilik kenderaan pacuan empat roda yang melarikan diri susulan nahas jalan raya yang mengakibatkan dua beradik maut di kilometer (km) 38 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sehingga kini individu terbabit masih belum tampil untuk membuay laporan polis berkenaan kejadian itu.
“Pihak polis meminta kepada orang awam yang telah menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani, di talian 014-5073473 bagi membantu siasatan.
“Masyarakat dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan bua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam nahas langgar lari dengan sebuah pacuan empat roda berhampiran dengan simpang Taman Desa Salak, dekat sini, pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Zuhal Norazlan, 17 dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13 disahkan meninggal dunia akibat rempuhan kenderaan terbabit di tempat kejadian.
Mohd Khaizam memaklumkan, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan berkenaan secara tiba-tiba telah memasuki simpang kanan jalan dan telah melanggar motosikal yang dinaiki dua pelajar berkenaan.
“Mayat kedua-dua pelajar tersebut telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘ polytrauma with suspected neck injury/cervical fractur’ atau kecederaan parah pada bahagian tengkuk.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 198,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: