IPOH – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang cedera dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 pelajar lain di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, awal pagi Isnin, dilaporkan masih mengalami trauma.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun kedua-dua pelajar terbabit, Lili Suzana Mat Ya’acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, kini berada dalam keadaan stabil.
“Sesiapa sahaja yang menghadapi tragedi seumpama ini pasti akan mengalami trauma, apatah lagi kenderaan yang mereka naiki turut terbalik.
“Selain bantuan daripada UPSI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa.
“Apa yang penting, kita harap mereka segera sembuh dan kembali bersemangat untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dua pelajar terbabit yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada Selasa.
Menurut Noraini, kedua-dua pelajar berkenaan masih ditempatkan di wad biasa dan berada dalam pemantauan pihak perubatan.
“Ketika lawatan, mereka meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan rakan-rakan seuniversiti yang lain.
“Namun, saya menasihatkan agar mereka tidak terlalu memikirkan perkara itu kerana pihak UPSI, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital sentiasa memberikan bantuan terbaik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa KPWKM turut menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada waris kesemua mangsa, termasuk keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Jelas beliau, JKM Terengganu telah diarahkan untuk menghubungi semua waris bagi melaksanakan penilaian keperluan dan menyediakan sokongan kaunseling sewajarnya.
“Selain bantuan kewangan menerusi Yayasan Kebajikan Negara, KPWKM juga menyediakan kemudahan penginapan sementara melalui program Anjung Kasih kepada waris yang menunggu proses rawatan di hospital.
“Walaupun UPSI ada menyediakan penginapan di hotel untuk waris, namun kita juga membuka Anjung Kasih sekiranya mereka memilih untuk tinggal di situ,” ujarnya.
Mengulas mengenai keluarga pemandu Perodua Alza yang turut terlibat dalam nahas tersebut, Noraini berkata, bantuan serupa akan disalurkan sekiranya diperlukan.
“Pegawai JKM akan mengadakan lawatan terhadap keluarga berkenaan, dan jika ada keperluan, bantuan akan disalurkan segera,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin, seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 53, JRTB Jeli–Gerik.
Selain itu, seramai 27 pelajar lain serta seorang pemandu dan kelindan turut cedera dalam nahas berkenaan.
Turut cedera dalam kemalangan terbabit empat sekeluarga yang menaiki MPV. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas pelajar UPSI: Dua penumpang Alza patah tulang rusuk, lutut