MANJUNG – Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung, pada Rabu atas dua pertuduhan memperdagangkan dua beradik kembar bawah umur bagi tujuan eksploitasi seksual sejak Mei lalu.
Tertuduh, Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan Syazwani Mohd Hashim, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka yang masih bujang didakwa memperdagangkan dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah apartment di Jalan Utama Marina Island Teluk Muruh di Lumut, dalam daerah Manjung, pada 12 Mei sehingga 15 Jun 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan boleh disebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya memohon agar tertuduh dikenakan jaminan bernilai RM15,000 ke RM20,000, bersama syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Ketika rayuan, Syazwani yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di Manjung meminta mahkamah mengurangkan jaminan kerana berasal dari keluarga susah.
Sementara Muhammad Mustaqim turut merayu jaminan minimum kerana hanya menyara hidup melalui kerja membaiki telefon bimbit.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Selain itu, hakim turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu semua saksi pendakwaan khususnya mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang masih bersekolah serta dijaga oleh datuk dan nenek mengenali suspek melalui media sosial sejak Mei lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibu tunggal tak mengaku dagang anak kandung untuk eksploitasi seks