LUMUT – Tindak-tanduk mencurigakan dua rakan yang berada dalam kebun kelapa sawit, di Ayer Tawar, di sini, terjawab selepas ditahan bersama beberapa peket dadah oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki dan wanita itu ditahan sekitar jam 12.10 pagi 6 Disember lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek yang mencurigakan itu menemui beberapa peket disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.
“Pemeriksaan lanjut ke atas satu beg plastik dipegang suspek lelaki telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 450.9 gram.
“Turut ditemui lima peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 103.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama rampasan dadah dan sebuah kereta jenis Proton Saga FL warna coklat kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi siasatan lanjut.
Jelas beliau, susulan penahanan lelaki dan wanita terbabit, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Pundut, di sini.
“Hasil serbuan pihak polis berjaya merampas dadah disyaki jenis methamphetamine anggaran berat 254.20 gram dan heroin dianggarkan seberat 149.40 gram.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 357.70 gram bagi methamphetamine dan 600.30 gram untuk heroin yang bernilai RM60,357,” katanya.
Tambah Hasbullah, polis turut merampas dan menyita sebuah kereta jenis Proton Saga FLX, sebuah motosikal skuter Avatiz dan wang tunai berjumlah RM200 dengan nilai sitaan sebanyak RM14,200.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP dan methamphetamine.
“Kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) peruntukan yang sama,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sindiket edar dadah: Polis tahan tiga lelaki termasuk dalang