Dua remaja cedera selepas dinding Mydin Manjoi runtuh

IPOH – Dua remaja lelaki cedera ringan terkena serpihan batu bata selepas dinding sebelah kanan bangunan pasar raya besar Mydin di Manjoi runtuh petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.58 petang.

Menurutnya, ketika kejadian dua mangsa terbabit sedang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut dan runtuhan tersebut mengenai mereka.

“Bagaimanapun, ketika anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tiba di lokasi, kedua-dua mangsa terbabit sudah dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Kami dimaklumkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggota yang tiba di lokasi kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan yang menghalang laluan dan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Khairudin Hussein tamat sepenuhnya pada jam 5.32 petang.

Dua remaja lelaki cedera terkena serpihan batu bata selepas dinding pasar raya Mydin runtuh
Adun Manjoi, Hafez Sabri (kiri) ketika meninjau kawasan dinding runtuhan di pasar raya Mydin Manjoi petang tadi. Foto Facebook Hafez Sabri

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manjoi Hafez Sabri ketika dihubungi memaklumkan beliau sudah melawat ke lokasi kejadian sejurus kejadian tersebut berlaku.

“Saya dimaklumkan terdapat dua remaja lelaki berusia dalam lingkungan 13 dan 14 tahun yang cedera akibat terkena serpihan batu dalam insiden itu namun mereka berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan bangunan tersebut masih tidak selamat.

“Perkara ini melibatkan isu keselamatan penduduk Gugusan Manjoi. Masyarakat setempat perlu berhati-hati dan tidak melalui kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, kerana selagi bangunan tersebut masih dalam keadaan tidak selamat maka pada bila-bila masa sahaja sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Selain itu, pihak Mydin dan insuran juga perlu menyelesaikan segala perkara berkaitan serta merobohkan bangunan tersebut dengan segera.

“Saya juga telah majukan masalah ini kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya, semoga ada jalan penyelesaian segera,” ujarnya.

Pada 10 Mac lalu, pasar raya itu dilaporkan terbakar pada 7.09 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM50 juta. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Keadaan Kebakaran Pasar Raya Besar Mydin

Mydin Manjoi terbakar: Nilai kerugian dianggarkan RM50 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI