LUMUT – Dua buah vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di perairan negeri ini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kedua-dua VNT yang ditahan dalam dua operasi berasingan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan pada jam 4.05 petang ke atas sebuah vesel pukat tunda kelas B1 yang dikendalikan oleh seorang tekong tempatan bersama dua awak-awak pemastautin tetap (PR).
“Kesemua mereka berusia antara 38 tahun hingga 54 tahun dan tangkapan dibuat oleh aset bot Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan di bawah OP SAYONG 1/2018, OP PINTAS 1/2021 dan OP TIRIS 3.0.

“Pemeriksaan mendapati vesel pukat tunda kelas B1 ini, disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari daratan terhampir di kedudukan dua batu nautika barat laut Pulau Pangkor,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, turut dirampas ialah hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM1.5 juta sebelum kesemuanya dibawa ke Jeti LKIM Kg. Acheh untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut Mohamad Shukri berkata, tangkapan kedua pula dilakukan pada waktu yang sama oleh aset kapal Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan di bawah OP SAYONG 1/2018 dan OP KHAS TANJUNG 2.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit disyaki melanggar syarat sah lesen kerana
memukat ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir di kedudukan kira-kira 11.7 batu nautika barat daya Sungai Belukang.

“Pemeriksaan ke atas vesel tersebut turut mendapati ia dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar termasuk tekong.
“Kesemua kru berkenaan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta dipercayai tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, vesel diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Kg. Acheh untuk siasatan lanjut dan anggaran nilai keseluruhan sitaan bagi tangkapan kedua ini berjumlah melebihi RM3 juta.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat sah lesen, peraturan perikanan mahupun undang-undang imigresen.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan kedaulatan perairan negara, keselamatan komuniti maritim serta kelestarian sumber perikanan terus terpelihara,” kata beliau. -MG Perak


