LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, menahan dua vesel pukat tunda kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 2.5 batu nautika daripada barat laut Sungai Burung, dekat sini semalam.
Kedua-dua vesel yang dikendalikan tekong warga Myanmar dan Indonesia serta dua kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun itu ditahan sekitar jam 12.45 tengah hari dan 1 petang.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut ditahan pasukan operasi KM Nyalau yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi berkenaan bagi mencegah perlakuan jenayah maritim di perairan negeri ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot yang berpangkalan di Sungai Burung itu disyaki melakukan beberapa kesalahan antaranya melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari 5 batu nautika dari pantai atau daratan.
“Selain, itu mereka turut dikesan tiada buku lesen, pemilik tidak mengusaha sendiri bot terbabit manakala tekong dan kru tiada pengenalan diri yang sah serta dipercayai tidak menggunakan laluan pintu keluar dan masuk ke Malaysia yang sah.
“Kesemua vesel dan hasil tangkapan dengan anggaran 60 kilogram (kg) serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim tahan dua vesel, empat nelayan asing di perairan Perak